Terkini

Rahsia Disebalik Pentingnya Meningkatkan Kesihatan Seksual Wanita

Mungkin artikel ini agak senstif dalam kalangan masyarakat kita. Namun, isu ini menarik dan perlu dilihat daripada perspektif pendidikan kesihatan.

Rahsia Disebalik Pentingnya Meningkatkan Kesihatan Seksual Wanita
Wanita perlu lebih prihatin dalam soal menjaga kesihatan seksual

Kesihatan seksual ialah keperluan asas manusia. Semua insan tidak kira lelaki atau wanita berhak memilikinya demi kesejahteraan hidup secara menyeluruh. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan seksualiti sebagai sebahagian daripada personaliti yang dimiliki oleh setiap individu; lelaki dan perempuan.

Seksual merupakan keperluan asas manusia yang penting sama seperti aspek lain kehidupan. Hubungan seks bermaksud hubungan kelamin antara dua individu berlainan jantina.

Orgasma pula bermaksud mencapai kemuncak kepuasan syahwat ketika melakukan hubungan seks atau lebih mudah disebut klimaks.

Dua perkara ini berbeza dan setiap pasangan yang melakukan hubungan seks belum pasti memperoleh orgasma. Semua pasangan berkahwin pernah melakukan hubungan seks. Namun, bagaimana pula dengan orgasma?

Oleh itu, wanita perlu lebih prihatin dalam soal menjaga kesihatan seksual. Perubahan fizikal wanita sering terjadi selepas mereka bersalin khususnya penjagaan faraj. Selain itu, berlaku masalah pertambahan berat badan, stretch mark, masalah lemah kawalan kencing atau kesan lain yang biasa selepas bersalin. Perubahan fizikal bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan seksual malah kualiti hidup mereka.

Jika anda rasa semasa hubungan intim, faraj terasa longgar atau menghadapi kesukaran untuk mencapai kepuasan seksual, jangan salahkan suami anda kerana ia mungkin disebabkan kelonggaran faraj.

Sama seperti kulit, tisu faraj terdiri daripada gentian kolagen. Semasa melahirkan anak, tisu ini boleh terlalu tegang, merosakkan kolagen dan mewujudkan rasa kelonggaran terutama di sekitar pembukaan faraj.

Perasaan kelonggaran yang dialami oleh ibu-ibu akan mengurangkan kepuasan seksual dan keinginan untuk melakukan hubungan seksual. Ini boleh membawa kepada kesan negatif kepada hubungan dan kualiti hidup.

Dalam kaji selidik terhadap 400 wanita bersalin secara normal, hampir 50 peratus telah menyatakan mereka menghadapi masalah kelonggaran faraj dan penurunan kepuasan seksual semasa persetubuhan.

Hari ini, banyak kes sebegini tidak dilaporkan kerana wanita malu bercakap tentang perkara yang berkaitan hubungan intim dan kurang memahami keadaan. Sebagai wanita dan seorang pakar, saya menggesa wanita untuk menjaga kesihatan seksual mereka dengan berbincang dengan doktor tentang kesihatan seksual mereka dan memahami bahawa kesihatan seksual ialah sebahagian daripada kesihatan secara keseluruhan.

No comments