Terkini

Awie Pilih Thailand Tempat Untuk Nikahi Ladyana

KUALA LUMPUR - Vokalis Wings, Ahmad Azhar Othman, 48 atau Awie memilih untuk menikahi isterinya di salah sebuah lokasi di Thailand dalam sebuah majlis pernikahan yang dihadiri keluarga dan rakan rapat sahaja.

Awie Pilih Thailand Tempat Untuk Nikahi Ladyana

Berlangsung di sebuah perkampungan di tepi pantai, majlis tersebut diadakan kira-kira pukul 12 tengah hari tadi dan Awie bergelar suami kepada Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin, 29, hanya dengan sekali lafaz.

Difahamkan, anak-anak Awie hasil perkahwinan terdahulu turut menghadiri majlis pernikahan bapa mereka yang dilaporkan menitiskan air mata sebaik diijabkabulkan.

Usaha Utusan Online mendapatkan maklum balas daripada Awie mengenai pernikahan terbaharu ini tidak kesampaian, sebaliknya panggilan telefon disambung kepada operator yang menjawab menggunakan bahasa Siam.

Sementara itu, berdasarkan beberapa keping gambar sekitar majlis pernikahannya yang tersebar di internet, Awie mengenakan baju Melayu tradisi rona hitam, lengkap bertanjak serta samping, manakala Sharifah Ladyana pula anggun dalam persalinan kebaya hitam.

Ini adalah perkahwinan ketiga buat Awie memandangkan sebelum ini dia pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Arni Nazira Anuar pada tahun 1998 yang hanya bertahan lapan tahun dan dikurniakan dua anak perempuan iaitu Puteri Aleeya Antasha, 16, dan Puteri Aleefa Antasha, 14.

Perkahwinan kedua Awie dengan Rozana Misbun pada tahun 2006 juga berlangsung di Thailand. Bagaimanapun mereka tidak tinggal sebumbung sejak tahun 2014 selepas memperoleh tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 6. - UTUSAN ONLINE



No comments