Terkini

Rezeki Awek "Runner" Sempena Final Piala Malaysia

Alor Setar -Demi untuk mendapatkan tiket menyaksikan final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam Ahad ini, penyokong Kedah sanggup mengupah ‘runner’ wanita bagi membeli tiket di Stadium Darul Aman semalam.

Rezeki Awek "Runner" Sempena Final Piala Malaysia

Segelintir penyokong Helang Merah sanggup mengeluarkan wang lebih untuk membayar upah itu susulan tiket yang diperuntukkan di kaunter lelaki sudah habis dijual lebih awal iaitu setengah jam selepas kaunter dibuka jam 10 pagi.

Panik kerana bimbang tidak sempat membeli tiket, berpuluh-puluh penyokong lelaki menyerbu Kaunter A yang dikhaskan untuk wanita, meminta tolong mereka untuk membelikan tiket.

Menurut seorang peminat wanita, dia yang pada awalnya datang untuk membeli dua tiket kemudiannya terpaksa menjadi ‘runner’ apabila terpaksa beratur tiga kali selepas diupah penyokong lelaki.

“Saya datang bagi membeli tiket untuk saya dan adik, tapi tiba-tiba ada penyokong lelaki yang meminta tolong belikan tiket untuk mereka.

“Mereka sanggup beri upah, ada beri RM50 untuk saya belikan tiga tiket,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Ayuni.

Bagaimanapun tidak ada kekecohan besar berlaku meskipun ada penyokong yang pulang hampa kerana gagal mendapatkan tiket sebaik kesemua kaunter tiket ditutup jam 11 pagi.

Daripada 30,000 tiket dewasa dan 750 tiket kanak-kanak yang diperuntukkan untuk Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), hanya 9,000 tiket dijual semalam selepas 15,972 tiket sudah dijual menerusi tempahan bas manakala 5,028 tiket dikhaskan untuk kuota pasukan, ahli badan gabungan, penaja dan ahli majlis.

Jualan menerusi tempahan ini membolehkan jualan tiket lebih lancar tanpa banyak kekecohan berbanding apa yang berlaku tahun lalu.

Menurut Rosidah Hamsah, 25, yang berasal dari Kuala Ketil, dia sudah mula beratur jam 7 pagi untuk membeli tiket.

“Saya rasa proses jualan tiket kali ini lebih mudah berbanding tahun lalu, memang gembira dapat ke Stadium Shah Alam lagi sekali, harap Kedah boleh menang 2-0,” katanya.

Semangat itu turut dikongsi Zuraidi Zakaria, 22, yang sanggup bermalam di perkarangan stadium sejak malam semalam.

“Saya beratur sejak jam 3 pagi, memang makan, tidur di sini. Tapi yang penting kami pergi Shah Alam lagi, harap tak kecewa lagi tahun ini,” katanya yang datang dari Sik.

MyMetro

No comments