Terkini

Bayi 6 Minggu Maut Jatuh Lif

NEW YORK - Seorang bayi perempuan berusia 6 minggu mati selepas kereta sorong bayi terjatuh dalam ruangan lif bangunan pangsapuri di sini.

Bayi 6 Minggu Maut Jatuh Lif

Ibunya Aberaqed Al -Rabah sedang menunggu lif bersama bayinya berusia enam minggu, Areej Ali.

Apabila pintu lif berkenaan terbuka, ibu berusia 21 tahun itu tidak menyedari lif berkenaan tersangkut di antara tingkat 22 dan menolak kereta sorong berkenaan ke dalam lif kosong.

Kedua beranak itu terjatuh di atas bumbung lif berkenaan dan polis menjumpai Areej dalam keadaan tidak bergerak dan tidak sedarkan diri.

Jurucakap polis New York berkata, bayi itu dikejarkan ke hospital tempatan dan disahkan meninggal dunia.

Siasatan sedang dijalankan dan tiada tangkapan dibuat dalam insiden ini.

Bangunan itu sedang dalam pengubahsuaian besar-besaran dengan 50 pengubahsuaian termasuk 4 pengubahsuaian lif.

Sementara itu, sepasang suami isteri yang tinggal di bangunan berkenaan berkata, lif berkenaan sering mengalami kerosakan.

"Sering ada kerosakan lif di bangunan ini. Seminggu lalu, lif rosak, pintu tak terbuka dan sentiasa tertutup" kata Elizabeth Delacruz memberitahu The Post.

Bagaimanapun tidak dipastikan sama ada ibu muda itu menyedari lif berkenaan rosak atau penyelenggara bangunan tidak meletakkan notis pemberitahuan kerosakan tersebut.

Pegawai dari jabatan bangunan di bandar New York melakukan penyiasatan di bangunan kediaman itu.

Bangunan yang dibina pada tahun 1974 mempunyai 24 tingkat dan 334 unit rumah.


SinarOnline





No comments