Terkini

Anggota Polis Antara 15 Suspek Ditahan Disyaki Terlibat Militan

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis merupakan antara 15 individu warga tempatan ditahan setelah disyaki terlibat dalam kumpulan militan Daesh.

Anggota Polis Antara 15 Suspek Ditahan Disyaki Terlibat Militan
Anggota Polis Antara 15 Suspek Ditahan Disyaki Terlibat Militan

Kesemua mereka yang terdiri daripada 11 lelaki dan empat wanita berusia 22 hingga 49 tahun itu ditahan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Terengganu dalam operasi dijalankan Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas pada Selasa lepas hingga Khamis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata selain anggota polis itu, lima daripada suspek ditahan merupakan pekerja swasta dengan seorang daripadanya adalah juruteknik kapal terbang selain empat individu bekerja sendiri dan seorang imam masjid.

"Suspek lain pula merupakan seorang suri rumah, seorang pelajar dan dua orang penganggur," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Beliau berkata kesemua suspek dipercayai pernah menerima arahan daripada seorang anggota penggganas warga tempatan yang berpangkalan di Syria, Muhammad Wandy Mohamed Jedi untuk melancarkan serangan dalam negara.

Selain itu, katanya suspek juga terlibat dalam aktiviti pengumpulan dana untuk disalurkan kepada salah sebuah kumpulan pengganas gabungan Daesh di selatan Filipina serta kepada rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan Daesh di Syria.

"Kesemua suspek juga terlibat dalam mengatur penyusupan masuk dua suspek pengganas warga asing dari Malaysia ke sebuah negara di Asia Tenggara selain merekrut serta menghantar rakyat Malaysia menyertai pengganas Daesh di Syria," katanya.

Beliau menambah suspek juga dipercayai menjalin hubungan kerja dengan kumpulan pengganas di Asia Tenggara selain turut terlibat dalam cubaan mendapatkan bahan-bahan kimia untuk menghasilkan bom dan menggodam beberapa laman web milik kerajaan Malaysia.

"Empat wanita yang ditahan itu telah merancang menyusup keluar dari Malaysia ke Syria bagi menyertai kumpulan Daesh di Syria," katanya.

Sehubungan itu, Khalid berkata kesemua suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA - kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).


MstarOnline

No comments