Terkini

Pakai Baju Melayu Tak Pakai Songkok, Kishva Beri Penjelasan

SHAH ALAM - Pemuda kelahiran Pulau Pinang, Kishva Ambigapathy, 26, menjadi rakyat Malaysia pertama membawa cokmar emas dalam majlis sambutan hari jadi ke-90 Ratu Elizabeth II pada 15 Mac.

Pakai Baju Melayu Tak Pakai Songkok, Kishva Beri Penjelasan
Pakai Baju Melayu Tak Pakai Songkok, Kishva Beri Penjelasan

Kishva juga mengakui dia merasa amat berbangga berikutan mendapat peluang untuk mengambil bahagian dalam peristiwa bersejarah tersebut.

Menurut Kishya, dia merasa berbangga dengan peluang tersebut tambahan pula cokmar emas itu sangat istimewa kerana ia adalah hadiah daripada Ketua-ketua Kerajaan Negara Komanwel kepada Ratu Elizabeth II sempena sambutan kelahirannya yang direka mempunyai elemen bendera 53 negara Komanwel.

“Saya sangat berbangga kerana mendapat peluang ini dan dihargai sebegini kerana bukan semua anak muda seusia saya merasai pengalaman sebagai pembawa cokmar untuk majlis seperti ini.

“Dan ini merupakan penghargaan terbesar buat saya dan rakyat Malaysia amnya kerana pembawa cokmar adalah antara kedudukan tertinggi dalam mana-mana acara seumpamanya,” katanya seperti yang dipetik oleh SuaraTV.

Sebelum ini, video Kishva pada acara itu menjadi viral di laman Facebook dan menerima pujian ramai pengguna laman sosial termasuk Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofia kerana berpakaian tradisi Melayu.

Dalam pada itu, Kishya turut menjawab pertikaian sebilangan pihak yang mempersoalkan tindakannya berikutan tidak mengenakan songkok ketika memakai baju Melayu berwarna krim pada majlis tersebut.

“Saya tahu ramai mempertikaikan kenapa saya tidak bersongkok apabila berbaju Melayu.

“Tapi, bagi saya apa yang penting adalah untuk membawa identiti Malaysia dalam acara yang besar sebegini.

“Saya sudah cuba mencari songkok untuk dipakai bersama baju Melayu berwarna krim pada majlis bersejarah itu namun sukar kerana berada di kota London,” katanya.

Kishva berkata, keputusan untuk memilihnya bagi menjadi pembawa cokmar tersebut diputuskan oleh Ratu Elizabeth II dan Jawatankuasa Belia Komanwel atas kapasiti masih belum ada rakyat Malaysia diberi tanggungjawab itu.

Selain itu, antara faktor lain pemilihannya adalah kerana dia memegang jawatan sebagai Pengerusi Majlis Belia Komanwel (CYC), pertubuhan yang mewakili suara anak muda dari 53 negara Komanwel seluruh dunia.

Dalam pada itu, tiga generasi kerabat diraja Britain termasuk Duke dan Duchess of Cambridge, Putera William dan Kate Middleton termasuk Putera Harry turut bersama-sama dalam upacara itu yang berlangsung di Westminster Abbey, London.


SinarHarian

No comments