Terkini

Hanya Kerana Mabuk Cinta Lelaki Sanggup Rampas Pesawat EqyptAir

NICOSIA, CYPRUS: Seorang lelaki Mesir merampas pesawat EgyptAir ketika dalam penerbangan domestik dari Iskandarian ke Kaherah dan mengarahkannya dilencongkan ke Cyprus sebelum menyerah diri selepas membebaskan semua penumpang.

Hanya Kerana Mabuk Cinta Lelaki Sanggup Rampas Pesawat EqyptAir
Perampas telah mneyerahkan diri selepas beberapa jam berada di Lapangan Terbang Larnaca

Tindakannya menyerah diri menamatkan drama selama beberapa jam di Lapangan Terbang Larnaca, selatan Cyprus. Sebelum itu dia membebaskan kebanyakan penumpang kecuali empat anak kapal dan tiga penumpang.

Hanya beberapa minit sebelum penahanannya, stesen televisyen tempatan menyiarkan rakaman menunjukkan beberapa orang turun dari pesawat itu dan seorang dipercayai anak kapal memanjat keluar dari tingkap kokpit sebelum menggelungsur turun di sisi pesawat.

Setiausaha Tetap Kementerian Luar Cyprus, Alexandros Zenon mengesahkan suspek menyerah diri dan ditangkap seterusnya mengakhiri ketegangan selama beberapa jam itu.

Ia disahkan Perdana Menteri Mesir Sharif Ismail serta Menteri Penerbangan Awamnya, Sharif Fathi.

“Semua penumpang dan anak kapal selamat,” kata Sharif dalam siaran televisyen kebangsaan.

Punca sebenar kejadian tidak diketahui, namun Presiden Cyprus, Nicos Anastasiades berkata, kejadian itu tiada kaitan dengan keganasan, malah seorang pegawai kerajaan negara itu yang enggan dikenal pasti berkata: “Nampaknya lelaki itu dilamun cinta.”

Malah, Anastasiades yang menjawab soalan pemberita mengenai kejadian itu berkata: “Memanglah selalunya sebab perempuan.”

Sebelum itu, seorang pegawai kementerian luar Mesir dilaporkan berkata dalam satu kenyataan: “Lelaki itu bukannya pengganas, dia bodoh. Pengganas memang gila, tetapi tidak bodoh. Lelaki ini memang nyata bodoh.”

Seorang pegawai polis Cyprus yang enggan dinamakan berkata, suspek turun dari pesawat itu sebelum ditahan polis antikeganasan.

Katanya, lelaki itu memakai tali pinggang, tetapi tiada bahan letupan padanya.

Suspek sebelum itu meminta ditemukan dengan seorang wanita tempatan yang kemudian dikenal pasti sebagai bekas isteri yang juga ibu kepada empat anaknya.

Pesawat MS181 berlepas dari Iskandariah pagi semalam membawa sekurang-kurangnya 55 penumpang termasuk 26 warga asing dan tujuh anak kapal dalam penerbangan yang mengambil masa 30 minit.

Agensi berita Mesir, MENA mengenal pasti suspek sebagai Seifedeen Mustafa yang turut disahkan pegawai kanan di Cyprus. Kenyataan awal dikeluarkan Kementerian Penerbangan Mesir turut menyatakan lelaki itu mendakwa mempunyai tali pinggang berisi bom.

- Harian Metro

No comments