Terkini

Kisah Pemuda Yang Hidup Gelandangan Walau Pun Bapanya Pensyarah, Ibunya Doktor

PETALING JAYA: Tidak pernah terfikir sebahagian daripada kehidupannya perlu dihabiskan di kaki-kaki lima, Panjang (bukan nama sebenar), 25, pasrah dengan nasib yang menimpa dirinya.

Kisah Pemuda Yang Hidup Gelandangan Walau Pun Bapanya Pensyarah, Ibunya Doktor
Gambar Hiasan


Akibat terjebak dalam kancah penagihan dadah, dia kini menjadi salah seorang daripada ribuan warga gelandangan di tengah ibu kota yang masing-masing menyimpan 1001 kisah suka dan duka.

"Ini semua berlaku sebab saya buat jahat. Saya hisap dadah dan akhirnya keluarga tak mahu terima saya.

"Kesudahannya, di sinilah tempat saya," katanya kepada mStar Online sambil tersengih dan menggaru-garu kepalanya yang entah gatal entahkan tidak itu.

Panjang, yang berasal dari Sabah ditemui baru-baru ini sekitar pukul 12.30 pagi, di kaki lima sebuah bank di ibu negara, waktu di mana warga kota sedang lena diulit mimpi.

Ketika ditemui, dia dan rakan-rakannya baru sahaja mengambil beberapa keping kotak yang diberikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada kumpulan gelandangan di situ.

Daripada raut wajahnya, Panjang nampak gembira menerima kotak-kotak itu, seolah-olah mendapat sebuah 'tilam' baharu untuk tidurnya yang lebih selesa, sekurang-kurang untuk malam itu dan dua-tiga malam akan datang.

"Saya ada tilam sendiri, kotak ini saya buat alas. Untuk bantal saya guna beg sahaja," katanya ringkas.

Kata Panjang, seperti insan lain, suatu masa dahulu dia pernah hidup bahagia bersama keluarganya yang kini turut menetap di Kuala Lumpur.

Episod hitam kehidupannya bermula apabila terjebak dengan dadah selepas tamat sekolah. Hidupnya lebih tertekan apabila nenek yang amat disayangi meninggal dunia pada waktu yang sama.

"Saya pernah pergi London, melancong ke Eropah dengan mereka. Saya pernahlah merasa apa itu bahagia," katanya.

Dengan rasa bangga, dia memberitahu bahawa ibu bapa dan ahli keluarganya terdiri daripada orang yang 'baik-baik' dan berpelajaran tinggi.

Justeru, Panjang berkata, dia tidak hairan mengapa dirinya disisih keluarga apabila mereka mendapat tahu dia terbabit dengan dadah.

"Ayah saya seorang pensyarah, emak saya doktor gigi dan kakak saya seorang model.

"Jadi saya fahamlah kenapa mereka marah sangat dengan saya. Mana tidaknya, dulu saya ambil dadah, sekarang saya hidu gam pula dan jadi gelandangan. Sudah tentu mereka tak dapat terima saya," katanya.

Panjang berkata sejak enam tahun hidup sebagai gelandangan, sudah enam tahun jugalah dia tidak beraya bersama keluarganya, tetapi ada menghubungi ibunya melalui telefon apabila terbit rasa rindu.

"Saya tak telefon mak selalu sebab kalau saya telefon, mak akan fikir saya mesti nak minta duit. Memang saya pernah dua-tiga kali telefon mak untuk minta duit.

"Bukan saya tak sayang mereka, saya rindu sangat dengan mereka tapi bila tengok keadaan saya macam ni, saya jadi malas nak balik semula ke rumah, apatah lagi menyusahkan mereka," tambahnya meluahkan perasaannya.

Mengenai rutin harian, Panjang berkata, tidak banyak yang mampu dilakukannya kerana mengalami sakit tulang belakang sejak tahun pertama hidup sebagai gelandangan.

Terbit sahaja matahari, dia akan 'berpindah' tempat tidur, dari kaki lima bangunan ke kawasan sungai di ibu kota, seterusnya menjelang petang, barulah dia keluar mencari sedikit wang dan makanan.

Disebabkan sakitnya itu juga, dia tidak melakukan apa-apa pekerjaan untuk mendapatkan wang, melainkan meminta sedekah, khususnya pelancong asing.

"Saya boleh cakap 'English', jadi saya banyak minta duit daripada pelancong-pelancong asing.

"Waktu siang saya banyak habiskan masa di kafe siber, 'layan' Facebook. Bila malam saya cari 'port' tidur yang sesuai. Bab makan saya tak risau sebab hampir setiap malam ada sahaja yang sedekahkan makanan, ubat-ubat, barang mandian dan macam macam lagi. Malam ini saya dan rakan-rakan juga diberi kotak dan ubat nyamuk," katanya.

Ditanya apakah dia terfikir untuk hidup bahagia bersama keluarga seperti mana yang pernah dikecapinya suatu masa dulu, Panjang hanya diam sambil tersenyum.

Dia juga hanya diam apabila ditanya jika dia mahu berpindah ke tempat yang lebih selesa iaitu Pusat Transit Gelandangan di Jalan Pahang, yang mula dibuka pada 10 Februari lalu.

"Susah nak cakap. Dulu memang saya bahagia, tapi macam sekarang (hidup) pun OK, tak banyak tekanan.

"Lagipun sekarang saya dah ada 'girlfriend'. Dia pun sama macam saya tak ada rumah. Tengoklah, mungkin saya akan jadikan dia isteri saya tak lama lagi," katanya merujuk kepada teman wanita berusia 23 tahun yang berasal dari Sarawak yang dikenalinya tiga bulan lalu.

Pada 27 Februari lalu Pusat Transit Gelandangan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak susulan lawatan mengejutnya pada Julai 2014 bagi meninjau keadaan gelandangan di ibu kota.

Sehingga kini, terdapat 141 penghuni di situ dengan 125 daripadanya menginap di pusat berkenaan, manakala selebihnya datang secara harian untuk menggunakan fasiliti dan mendapatkan makanan.


Sumber - MstarOnline

No comments