Terkini

Seram...Kemalangan Di Thailand, Laluan Maut Korban Lebih 100 Nyawa

Lokasi kemalangan yang menyaksikan 13 orang pelancong Malaysia terbunuh, dalam insiden bas terbabas di Doi Saket, Chiang Mai, dipercayai merupakan antara laluan yang paling berbahaya di Thailand.

Kemalangan Di Thailand...Laluan Maut Mengorbankan Lebih 100 Nyawa

Ini kerana, kawasan Kilometer 43, Lebuh Raya 118 Chiang Mai-Chiang Rai dekat Ban Pang Fen itu pernah meragut lebih 100 nyawa dalam kemalangan jalan raya setakat ini.

Ketua Polis Daerah Doi Saket, Kolonel Nanthisak Vanyangkul berkata, nahas hari ini merupakan kali kedua membabitkan angka korban terbesar selepas lapan tahun lalu.

Katanya, dalam kejadian pada 19 Januari 2007, seramai 21 orang guru dan pelajar dari wilayah Chanthaburi terkorban selepas bas dinaiki terjatuh dalam gaung di kawasan sama.

“Selain itu, kira-kira dua tahun lalu, tiga pelajar sekolah maut manakala 50 lagi cedera selepas terlibat dalam nahas di lokasi sama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Menurut Nanthisak, penduduk kampung kawasan tersebut juga menggelar lokasi kemalangan sebagai ‘selekoh 100 maut’ kerana kerap berlaku insiden melibatkan kenderaan.

Katanya, laluan berkenaan juga dianggap berbahaya khususnya bagi pemandu yang tidak mahir dengan keadaan jalan.

“Kawasan kejadian sememang­nya berkabus terutama musim di­ngin melanda iaitu pada bulan November hingga Januari,” katanya.

Ketika ditanya tentang rekod pemandu, beliau memberitahu, pihaknya masih menyiasat latar belakang pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan itu.
“Namun, dalam kejadian hari ini, kita tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada kecuaian pemandu bas.

“Malah, dia juga secara se­ngaja melarikan diri selepas terlibat dalam satu kemalangan tidak lama sebelum kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, beliau memberi­tahu, pihak berkuasa kini sedang menghubungi Kedutaan Malaysia di Bangkok untuk mengenal pasti identiti kesemua mangsa.

“Mangsa yang cedera parah pula dihantar ke hospital di sekitar Chiang Mai untuk rawatan,” katanya.

-sumber-utusan

No comments