Terkini

Selut Sungai Menyedut Kaki Sesiapa Sahaja Hingga Tak Bergerak.

SUNGAI Isap, sebutan nama yang agak pelik sekali gus menggambarkan perkara yang boleh dianggap negatif, hakikatnya menyimpan cerita yang menarik.


Kawasan ini ternyata antara lokasi yang cukup dikenali bukan sahaja di Kuantan malahan seluruh Pahang.

Kebanyakan nama sama ada tempat, kampung atau jalan mempunyai sejarah tersendiri sama ada bersandarkan nama pengasas, tanaman dan sebarang benda sekitar yang terdapat di kawasan tersebut.

Salasilah Sungai Isap dikatakan berasal daripada sungai yang terdapat di kawasan di mana ia dibuka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Isap, Abdul Mubin Abdul Rahim, 55, berkata, Sungai Isap itu dikatakan berasal daripada keadaan persekitaran sungai yang ada di kampung tersebut.

“Kira-kira 50 tahun lalu, ia sebuah kampung yang berpaya bakau dan gambut.

“Mengikut cerita orang kampung tradisi di sini, dia mendapat nama apabila sungai ini berada di dalam kawasan berselut dan bila dipijak ia akan menyedut kaki.

“Disebabkan kejadian tersebut berlaku setiap kali penduduk masuk kawasan berselut itu maka penduduk awal menyebutkan sebagai kawasan menghisap, tapi lama-kelamaan sebutan tu jadi lebih ringkas dan yang tinggal sekarang hanyalah Isap sahaja.

Jadi lubuk rezeki penduduk

Menurutnya, kawasan sungai itu adalah lokasi penduduk asal mendapatkan sumber makanan dan pengangkutan air.

“Walaupun selut di kawasan baran (paya bakau) tersebut hisap sesiapa yang memijaknya tapi ia tetap jadi lubuk rezeki mereka yang menetap di kawasan kampung ini,” katanya yang merupakan ketua kampung keempat Sungai Isap.

Beliau berkata, terdapat segelintir masyarakat yang pelik dengan nama perkampungan ini dan sesetengahnya menganggap sebagai sesuatu yang negatif.

“Tidak kurang juga mengejek dan memperlekehkan kewujudan Sungai Isap disebabkan namanya yang turut dianggap seakan lucah.

“Ini kerana kurangnya pengetahuan dan perasaan ambil tahu tentang pengertian nama dan asal penempatan di daerah ini, dan rata-ratanya orang luar dari Pahang atau luar negara,” katanya.

Terperangkap dalam selut

Sementara itu, bekas ketua kampung kedua diera 80-an, Mohd Sulong Muda turut sudi berkongsi serba sedikit info daripada orang terdahulu yang rata-ratanya sudah meninggal dunia.

Mohd Sulong berkata, Sungai Isap dibuka oleh ketua kampung pertama iaitu Mohd Yatim Awang Noh ketika kawasan tersebut berada di bawah Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Rashid Rahman.

“Versi yang saya peroleh juga sama di mana selut yang terdapat di tepi dan dalam sungai menyedut kaki sesiapa sahaja yang terpacak hingga lekat serta tak mampu bergerak.

“Ada juga yang beritahu kalau tak kena gaya ada juga penduduk dan orang terperangkap kerana dihisap selut tersebut meninggal kerana air pasang dan tak dapat selamatkan diri.

"Sebab itu, kawasan menghisap ini jadi bualan dan buah mulut orang hinggakan akhirnya untuk memudahkan Sungai Menghisap tersebut ringkasnya diberikan nama sebagai Sungai Isap sahaja,” katanya.

No comments