Terkini

Rentung....Seorang Kanak-kanak Antara Yang Maut Dalam Kemalangan

JOHOR BAHARU: Seorang lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak maut dalam dua kereta yang terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di jambatan Sungai Dohol, dekat Kota Tinggi, Jumaat.

Rentung....Seorang Kanak-kanak Antara Yang Maut Dalam Kemalangan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Mohd Rizal Buang berkata kereta jenis Land Rover dan Toyota Corolla itu telah bertembung sebelum terbakar dalam kejadian kira-kira 7 pagi.

"Seorang wanita ditemui rentung di dalam kereta Toyota Corolla itu manakala satu keluarga dari Singapura terdiri daripada seorang lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak yang belum dikenal pasti jantinanya ditemui rentung di dalam Land Rover terbabit," katanya ketika dihubungi.

Mohd Rizal berkata terdapat seorang lagi kanak-kanak di dalam Land Rover berkenaan dan dia yang diselamatkan oleh orang awam dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila Land Rover yang dalam perjalanan ke Mersing telah melanggar papan tanda jambatan Sungai Dohol lalu terbabas ke arah bertentangan dan bertembung dengan kereta Toyota Corolla.

Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi bersama-sama lima anggota bomba tiba di lokasi kejadian pada 7.23 pagi bagi operasi menyelamat.


mstar

No comments