Terkini

`Ulat Mahkamah' Cemari Sistem Keadilan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Kuala Lumpur mengesan kegiatan 'ulat mahkamah' atau touting melibatkan individu tidak bertanggungjawab menawarkan untuk menjadi pengantara antara peguam dan mahkamah bagi menyelesaikan kes di mahkamah dengan bayaran tertentu.

`Ulat Mahkamah' Cemari Sistem Keadilan

Kegiatan itu dilihat menyasarkan orang awam terutama yang naif dan kurang pengetahuan mengenai kes dan prosedur mahkamah dan terdesak memerlukan bantuan untuk menyelesaikan kes yang dihadapi.

Lebih mengecewakan, kadar bayaran yang sewenangnya dikenakan ulat mahkamah ke atas orang awam, kononnya mereka mampu menyelesaikan dan membela anggota keluarga yang ditahan pihak berkuasa.

Susulan penularan aktiviti kotor itu, Mahkamah Kuala Lumpur telah mengeluar dan mengedarkan notis bagi memberi amaran kepada individu yang melakukan aktiviti berkenaan.

Notis yang ditampal di kawasan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur itu antara lain menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya dan berhati-hati sekiranya menerima sebarang tawaran menyelesaikan kes di mahkamah dengan bayaran tertentu.

"Pihak mahkamah tidak pernah melantik mana-mana ejen atau orang perseorangan untuk menyelesaikan kes bagi pihak mahkamah.

"Orang ramai diminta melaporkan segera kepada pihak mahkamah atau pihak polis sekiranya ditawarkan perkhidmatan sedemikian," menurut notis itu.

Seorang peguam yang enggan mendedahkan namanya memberitahu, kegiatan touting berlaku kerana kurangnya pengetahuan masyarakat tentang prosedur kes mahkamah menyebabkan individu tidak bertanggungjawab mula mengambil kesempatan.

"Apabila mereka (orang ramai) atau anggota keluarga dihadapkan ke mahkamah, mereka yang tidak tahu prosedur mahkamah akan terus datang ke mahkamah dan bertanyakan sesiapa sahaja yang ada di mahkamah.

"Di sinilah ada pihak yang ambil kesempatan mengatakan mereka ada kenal peguam yang boleh tolong. Kebanyakan touting berlaku daripada individu yang bukan peguam tetapi dikenali sebagai 'runner' atau ulat yang meraih orang awam untuk diperkenalkan kepada peguam.

"Mereka (ulat) akan membuka harga (menawarkan) harga mereka dengan cara meyakinkan orang awam ini dan seterusnya membawa mencari peguam dan minta peguam tolong menyelesaikan kes tersebut dengan mengatakan orang awam itu adalah kawan mereka," katanya.

Bernama mendapatkan pandangan beberapa pengamal undang-undang yang menyifatkan kegiatan itu boleh menjejaskan kredibiliti sistem kehakiman dan memberi persepsi negatif kepada tanggapan umum.

Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani daripada Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, berkata kegiatan touting bukan sahaja mendatangkan imej buruk kepada mahkamah tetapi juga hakim dan majistret.

"Orang awam akan beranggapan bahawa ulat dan peguam yang terlibat mempunyai hubungan baik atau telah berpakat dengan hakim atau majistret dan juga pegawai pendakwa untuk menyelesaikan kes. Mahkamah akan dilihat sebagai tidak telus dalam menjalankan tugas," katanya.

Mohd Azizuddin berkata kegiatan itu juga menyebabkan orang ramai berisiko tertipu kerana keuntungan menjadi faktor utama individu terlibat, bukannya pembelaan secara adil.

"Pihak mahkamah perlu mengenal pasti kegiatan dan ulat-ulat yang terlibat kerana ia melibatkan kepentingan awam, kita tidak mahu mahkamah dipenuhi individu tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan terhadap orang ramai," katanya.

Sementara itu, seorang timbalan pendakwa raya pula berkata tindakan ulat mencari pelanggan untuk peguam jelas melanggar etika guaman yang mana prinsip asasnya adalah pelanggan mencari peguam, bukan peguam mencari pelanggan.

Wanita itu berkata, peguam yang melakukan kegiatan itu boleh dilaporkan kepada Majlis Peguam dan mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib dan berkemungkinan Sijil Amalan Guaman mereka dibatalkan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang tidak berkemampuan mendapatkan khidmat bantuan guaman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang lebih bersifat mesra masyarakat.

"Bagi pihak kerajaan, adalah dicadangkan agar memberi maklumat meluas tentang perkhidmatan YBGK dan bagaimana untuk menghubungi YBGK sekiranya diperlukan," katanya.

-BERNAMA

No comments