Terkini

Waspada...Strok Boleh Juga Menyerang Kanak-kanak

Strok atau angin ahmar merupakan penyakit yang sering menyerang golongan dewasa sama ada lelaki mahu pun perempuan. Namun tanpa kita sedar banyak kes serangan strok juga melibatkan golongan usia muda termasuk bayi dan kanak-kanak.

Waspada...Strok Boleh Juga Menyerang Kanak-kanak

Belle Bong, 5, yang sebelum ini sihat dan merupakan kanak-kanak aktif dan riang, secara tiba-tiba pengsan dan disahkan terkena serangan strok tiga bulan lalu.

Sebelum kejadian, menurut ibunya, Lee Kim Fong, 40, Belle tidak menunjukkan sebarang perilaku atau tanda-tanda akan diserang strok, namun kanak-kanak itu secara tiba-tiba tidak sedarkan diri dan terus dirujuk ke hospital.

Belle disahkan terkena strok dan telah menjalani pembedahan di bahagian kepalanya. Ekoran daripada keadaannya itu, Belle terpaksa menangguhkan persekolahannya sejak tiga bulan lalu.

Berita baiknya pula, strok kanak-kanak itu berjaya dirawat berikutan tindakan pantas ibu bapanya yang merujuk terus kepada hospital dan kecekapan pakar perubatan merawat kanak-kanak berkenaan.

Empat jam selepas serangan berlaku merupakan tempoh yang amat penting bagi individu yang diserang strok kerana rawatan pantas mampu mengurangkan kesan serangan.

Dalam kes Belle, kanak-kanak itu disahkan mengalami strok Arterio-Venous Malformation (AVM) atau mengalami masalah pembuluh darah, namun bertuah kerana mendapat rawatan segera.

Menurut Konsultan Neurosurgeon Pusat Perubatan Ara Damansara, Dr. N. Ramesh, sukar mengenalpasti punca kanak-kanak diserang strok kerana sehingga kini tiada punca khusus bagaimana golongan pada usia muda diserang gejala tersebut.

Jelas beliau, lazimnya keadaan itu berlaku apabila kanak-kanak berkenaan dilahirkan dengan kelemahan salur darah yang menjadi punca kepada serangan strok sama ada melibatkan pendarahan (haemorrhagic) atau tiada pendarahan (ischemic) di bahagian saluran itu.

“Kanak-kanak jarang diserang sakit kepala, jika ibu bapa melihat anak kerap sakit kepala, itu petanda kepada gejala strok dan mereka harus dirujuk kepada hospital.

“Jika sakit kepala membawa kepada muntah atau pengsan itu bermakna berlaku pendarahan di dalam saluran darah di otak mereka dan kes itu perlu dirujuk untuk menjalani pembedahan. Jika ia strok, pendarahan senang untuk dikesan kerana kanak-kanak itu biasanya akan diserang sawan,” katanya.

Jelas Dr. Ramesh, jumlah kanak-kanak yang diserang strok tidak membimbangkan, tetapi saban tahun terdapat kes-kes baharu melibatkan penyakit berkenaan di negara ini.

Sehingga kini, ujar beliau, masih tiada vaksin untuk memulihkan strok memandangkan tiada punca khusus yang dapat dikesan bagaimana serangan berkenaan boleh berlaku.

“Rawatan awal membolehkan strok dipulihkan kerana serangan strok perlu dirawat dalam tempoh empat jam selepas mereka diserang, jika tidak otak pesakit akan mati dan sukar untuk mereka sembuh. Peluang untuk sembuh bagi pesakit yang mendapat rawatan segera adalah lebih cerah,” katanya.

Menurut beliau lagi, lazimnya bagi penghidap strok jenis AVM, satu pembedahan dinamakan intervensi radiologi iaitu kaedah mengurangkan pendarahan melalui penggunaan gam dilaksanakan.

Bagaimanapun untuk mengelakkan pengulangan serangan, pembedahan perlu dijalankan dan seterusnya mendapat rawatan pakar rehabilitasi bagi membolehkan individu itu bergerak seperti sedia kala.

“Dalam kes Belle, kanak-kanak itu sebelum ini memerlukan sokongan mesin pernafasan, namun dengan rawatan rehabilitasi membolehkan dia sedar awal dan boleh berjalan dan bercakap dengan cepat.
“Oleh itu sangat penting rawatan yang betul dan tepat untuk merawat pesakit strok dalam mengurangkan kesan serangan itu,” jelasnya.

Belle Bong (topi merah) kini kembali sihat selepas diserang strok. 
Ketahuilah,

Setiap tahun lebih 50,000 kes serangan strok baharu dilaporkan di negara ini yang menjadikannya punca utama dan penyebab kematian ketiga tertinggi selepas penyakit jantung dan kanser berdasarkan statistik Profil Kesihatan Malaysia,

Melihat kepada keperluan itu, Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC) melancarkan hotline strok pertama di negara ini bagi menyediakan bantuan kecemasan pada kadar paling pantas dan efisien kepada pesakit.

Talian 019-217 9442 atau 03-7839 9210 itu berfungsi seperti hotline panggilan kecemasan yang sedia ada, namun untuk hotline strok itu, satu pasukan khas ditubuhkan yang terdiri daripada pakar perubatan dan pembantu perubatan terlatih dalam memberi rawatan segera kepada pesakit strok.

Pengerusi Penjagaan Kesihatan dan Persatuan Hospital Swasta, Datuk Dr. Jacob Thomas berkata, melalui pelancaran hotline tersebut, keluarga individu yang diserang strok boleh terus menghubungi talian berkenaan dan pasukan itu akan bersiap sedia menunggu ketibaan pesakit.

Katanya, tindakan itu penting kerana dalam proses rawatan pesakit strok, masa adalah amat penting buat mereka kerana lebih cepat mereka dirawat risiko otak mereka rosak lebih berkurangan.

“Bagi pesakit strok, setiap minit selepas serangan adalah penentuan kepada mereka. Justeru, kita mengambil berat tempoh empat jam pertama selepas serangan dan kita mahu memberi tumpuan pada pesakit strok kerana mereka boleh dipulihkan jika mendapat rawatan segera.

“Ini merupakan inovasi dalam bidang perubatan sekali gus memberi imej baik serta meningkatkan taraf kesihatan rakyat di negara ini,” jelas beliau pada Majlis Pelancaran Hotline Strok ADMC baru-baru ini.

Di samping menawarkan rawatan segera, talian itu turut memberikan khidmat nasihat dan bantuan secara terus kepada keluarga pesakit sementara menunggu ketibaan ambulans dan boleh dihubungi 24 jam dan tujuh hari seminggu.
Dalam pada itu, Pakar Neurologi ADMC, Dr. Loh Pei Kee, berkata, kewujudan talian tersebut adalah satu inisiatif yang harus dipuji sangat membantu pakar perubatan mendiagnosis pesakit yang menghidap strok.

“Masa adalah penting untuk pesakit strok. Semakin lama seseorang pesakit itu tidak dirawat, lebih besar risiko berkaitan kerosakan otak. Saya percaya, mempunyai pasukan penjagaan strok yang berdedikasi di setiap hospital dapat meningkatkan tahap penjagaan kesihatan rakyat di negara ini,” ujarnya.

sumber-utusan

No comments