Terkini

Antara Wasiat Osama Laden Yang Didedah Oleh Amerika

WASHINGTON: Pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, menggariskan dalam surat dan dokumen cara mengagihkan dana dan hartanya yang bernilai sekurang-kurangnya AS$29 juta (RM120 juta) selepas kematiannya, mengarahkan sebahagian besar daripadanya digunakan untuk meneruskan kempen jihad.

Antara Wasiat Osama Laden Yang Didedah Oleh Amerika
Osama Bin Laden

Antara surat berkenaan, sebahagian daripada koleksi 113 dokumen yang dirampas dalam serbuan Unit Khas Amerika Syarikat pada 2011 yang membunuh Osama, disifatkan pegawai perisik sebagai apa dipercayai wasiat terakhir.

Agensi berita Reuters dan stesen ABC Television diberi akses eksklusif melihat dokumen berkenaan, yang diterjemah daripada bahasa Arab dan diisytiharkan tidak lagi sulit oleh agensi perisikan Amerika.

Ia sebahagian daripada koleksi dokumen kedua yang dirampas dalam operasi itu dan dianggap tidak lagi sulit sejak Mei 2015. Sebilangan besar masih belum disiarkan.

Dalam satu dokumen, nota bertulis tangan yang dipercayai pegawai perisik Amerika disusun oleh militan kelahiran Arab Saudi itu pada 1990-an, menyatakan cara beliau mahu agihan dibuat terhadap harta miliknya berjumlah AS$29 juta (RM120 juta) di Sudan.

Satu peratus daripada jumlah itu, tulis Osama, perlu diberikan kepada militan kanan al-Qaeda, Mahfouz Ould al-Walid, yang menggunakan nama samaran Abu Hafs al Mauritani.

"Beliau sudah menerima 20,000 hingga 30,000 dolar daripadanya. Saya berjanji akan memberi ganjaran kepada al-Walid jika menjatuhkan kerajaan Sudan," tulis Osama. - Reuters/BHarian

No comments