Terkini

Kereta Guru Terbakar, Hanya Keputusan SPM Berjaya Diselamatkan

Seremban – Tindakan pantas seorang guru berjaya menyelamatkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada terbakar dalam satu kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang 3, Taman Forest Heights, di sini, pagi tadi.

Kereta Guru Terbakar, Hanya Keputusan SPM Berjaya Diselamatkan
Kereta Guru Terbakar, Hanya Keputusan SPM Berjaya Diselamatkan.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, kereta jenis Ford Kugar milik Guru Penolong Kanan 1, Norasyikin Jantan, 54, itu, gagal diselamatkan apabila terbakar 100 peratus.

Norasyikin berkata, dia menyedari enjin keretanya keluar asap ketika dalam perjalanan pulang ke sekolah selepas mengambil keputusan SPM di Pejabat Pendidikan Daerah Seremban.

“Ketika hampir tiba di sekolah, saya berasa enjin kereta terlalu panas dan kelihatan asap keluar dari enjin.

“Saya segera masuk ke dalam sekolah dan mencari kawasan letak kereta yang selamat kerana asap semakin banyak,”katanya.

Menurutnya, dia sempat menyelamatkan keputusan SPM dan beg tangan sejurus melihat api keluar dari bahagian enjin kereta.

“Saya segera keluar kereta dan sempat capai beg keputusan SPM sekolah dan beg tangan saya manakala dokumen kerja gagal diselamatkan.

“Saya rasa takut sangat tengok api. Mujur pintu kereta boleh dibuka dan saya segera capai apa yang penting. Alhamdulillah, saya tidak mengalami sebarang kecederaan,”katanya.

Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Pegawai Bomba II, N. Sundarum, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.32 pagi.

“Sebuah jentera bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira lima minit kemudian.

“Sebaik tiba, kelihatan api sedang marak membakar keseluruhan kereta yang berada di kawasan parkir sekolah,”katanya di sini, semalam

Menurutnya, pihak sekolah cuba membantu memadam api kereta tersebut dengan menggunakan alat pemadam api sebelum pasukan bomba tiba.

“Api marak dengan cepat menyebabkan usaha warga sekolah gagal dan ketika kami datang api sudah membakar 90 peratus kereta tersebut.

“Kami mengambil masa kira-kira 10 minit memadam kebakaran. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat keluar dari kenderaan,”katanya.

Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan bomba.

sumber - Kuala Lumpur Post

No comments