Terkini

Alvin Tan, (KDN) giat mencari jalan membawa balik individu tersebut

KUALA LUMPUR - Usaha mengekstradisi blogger kontroversi, Alvin Tan yang dipercayai berada di Amerika Syarikat, masih lagi sedang berjalan, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

 Alvin Tan, (KDN) giat mencari jalan membawa balik individu tersebut


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata pihaknya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) giat mencari jalan membawa balik individu tersebut untuk dihadapkan ke muka pengadilan atas kesalahan yang dilakukan.

"KDN telah mengadakan perbincangan termasuk dengan kementerian saya untuk proses ekstradisi terhadap pesalah ini (Alvin). Kita tidak pernah berhenti berusaha dalam isu ini," katanya menjawab soalan tambahan Senator Mohd Suhaimi Abdullah mengenai tindakan terhadap blogger-blogger yang menghina agama Islam.

Jailani juga berkata kes blogger berkenaan bersama pasangannya Vivian Lee yang sedang dibicarakan di mahkamah atas tuduhan mempersendakan Islam dan bulan Ramadan pada Julai tahun lalu juga akan diteruskan walaupun tanpa kehadiran Alvin.

"Kes tersebut akan diteruskan kerana pasangannya (Vivian) hadir, dan akan disambung pada 4 Januari tahun depan," katanya.

Dilapor, Alvin dan Vivian didakwa memuat naik satu penerbitan menghasut di laman Facebook Alvin and Vivian-Alvivi di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers mengikut Akta Hasutan 1948.

Namun Alvin gagal hadir ke mahkamah untuk sebutan semula kesnya dan kemudian memuat naik status facebook menyatakan beliau berada di California, Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Jailani berkata sebanyak 1,253 laman sesawang berunsur lucah telah disekat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) secara berperingkat berdasarkan aduan awam dan jumlah hits sesuatu laman sesawang dari tahun 2011 sehingga November tahun ini.

"Menurut satu kajian, kira-kira 12 hingga 15 peratus kandungan laman web adalah berunsur lucah dan menurut satu statistik, 260 laman web lucah baharu dihasilkan setiap hari."

"Namun SKMM dengan bantuan dari pelbagai agensi akan meneruskan usaha untuk membanteras laman web ini termasuk berunsur keganasan, hasutan, menyentuh sensitiviti agama dan bangsa," tambahnya.

Jailani mendedahkan antara kekangan yang dihadapi SKMM dalam siasatan berhubung kesalahan di media sosial ialah kesukaran untuk mengenal pasti suspek kerana kebanyakannya menggunakan akaun palsu.

Selain itu, maklumat pendaftaran talian telefon yang digunakan juga palsu dan kandungan aduan yang diterima tidak memenuhi keperluan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada, katanya.

Beliau berkata sepanjang bulan Januari hingga Disember ini, sejumlah RM2.29 juta kompaun telah dikeluarkan SKMM kepada syarikat telekomunikasi berhubung isu pendaftaran pengguna telefon prabayar.

"Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 89 peratus berbanding tahun lalu. Bagi kesalahan yang sama dilakukan tindakan mahkamah akan dikenakan kepada mana-mana syarikat telekomunikasi yang terlibat.

"Selain itu, siasatan menjadi lebih mencabar daripada aspek pemeliharaan bukti kesalahan kerana kandungan atau komunikasi di Internet mudah dipindah, dipadam atau dipinda pada bila-bila masa. Sifat anonimiti atau ketanpanamaan internet dan rekod pengguna yang tidak jelas menjadikan proses mengesan pesalah sukar dilakukan," tambahnya. - Bernama

No comments