Terkini

Seni dan Kreatif...Menghasilkan Potret Daripada Rambut

USAI menggunting rambut pelanggan, Li Hailing akan menyapu lebihan rambut yang jatuh bertaburan di atas lantai salun lalu meletakkannya dalam sebuah bekas simpanan khas.

Seni dan Kreatif...Menghasilkan Potret Daripada Rambut


Lelaki berusia 35 tahun itu tidak terus membuang lebihan rambut tadi tetapi menyimpannya untuk digunakan dalam karya seni ciptaannya.

Jika dilihat sekali imbas, lukisan potret yang dihasilkan Hailing kelihatan realistik seolah-olah dihasilkan menerusi lakaran pensel.

Bagaimanapun, potret tersebut sebenarnya dibuat daripada lebihan rambut-rambut pelanggannya itu.

“Saya lazimnya akan menyimpan lebihan rambut pelanggan lelaki yang jauh lebih pendek berbanding wanita. Biasanya, rambut daripada proses mencukur kepala yang digunakan kerana ia paling pendek selain dapat memberi kesan seni terbaik,” kata Hailing seperti dipetik Mail Online.

Minat mendalam terhadap cabang seni mendorong pendandan rambut yang juga seorang artis dari Lingbao, wilayah Henan, China itu memanfaatkan masa lapangnya dengan menghasilkan potret daripada rambut manusia.

Rujuk wajah

Lebih membanggakan, Hailing berjaya menarik perhatian pencinta seni menerusi karya potret mendiang pelakon Amerika Syarikat, Marilyn Monroe yang dibuat seiras dengan wajah asli ikon legenda Hollywood itu.

Seni dan Kreatif...Menghasilkan Potret Daripada Rambut

Menurutnya, dia memperoleh inspirasi untuk menghasilkan karya itu daripada teknik seni mewarna pasir.

“Saya memang meminati lukisan tradisional Cina sejak kecil lagi. Bagaimanapun, saya mahu mencetuskan sesuatu yang lain daripada lain dalam karya ciptaan saya.

“Jadi saya terfikir untuk menggunakan rambut yang terbuang bagi menghasilkan seni ini,” ujarnya.

Bercerita mengenai cara menghasilkan karya tersebut, Hailing memberitahu, dia akan merujuk wajah selebriti yang diingini sebelum mula menyusun rambut tersebut di atas kanvas putih.

Menariknya, dia tidak menampal rambut-rambut tersebut dengan gam mahupun pelekat untuk membuatkannya kekal berada pada kedudukan asal.

“Memang saya tidak menggunakan sebarang bahan pelekat kerana ia hanya akan mencomotkan karya ini dan hasilnya juga mungkin tidak sama dengan wajah sebenar.

“Oleh itu, saya perlu buat secara berhati-hati kerana ia boleh rosak sekelip mata jika saya terbatuk atau terbersin ketika menghasilkannya,” jelas Hailing.

Lukisan 3D

Selepas siap dibuat, Hailing akan mengabadikan karya seninya itu dalam bentuk fotografi.

“Karya ini dibuat hanya untuk sementara. Saya akan mengambil gambar dan menyimpannya sebagai koleksi,” ujarnya yang mengambil masa dua jam untuk menghasilkan sesebuah lukisan.

Karya rambut lain yang mendapat sentuhan Hailing termasuklah potret wajah artis Cina berpengaruh yang terkenal dengan nama Qi Bashi.

Hasil kerja Hailing yang turut mengagumkan para peminat seni ialah lukisan air terjun dan labah-labah dalam bentuk tiga dimensi (3D).

Kreativiti artis berbakat itu kini mendapat perhatian media-media di China.

Terbaharu, dia sedang menghasilkan karya rambut dalam bentuk landskap dan menjadikan Potala Palace di Lhasa, Tibet sebagai salah satu subjeknya.

Seni dan Kreatif...Menghasilkan Potret Daripada Rambut
Li Hailing mengambil masa lebih kurang dua jam untuk menyiapkan satu-satu potret


dipetik dari kosmo

No comments