Terkini

Belum Ada Cadangan Benar KWSP Untuk Bayar Kad Kredit

KUALA LUMPUR - Kerajaan belum bercadang membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan bayaran balik hutang kad kredit, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Belum Ada Cadangan Benar KWSP Untuk Bayar Kad Kredit

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata, ini kerana prinsip KWSP adalah sebagai sebuah organisasi keselamatan sosial yang menyediakan simpanan untuk persaraan ahli.

"Caruman di Akaun 2 KWSP iaitu dalam kategori akaun prapersaraan boleh dikeluarkan namun hanya untuk tujuan tertentu seperti kesihatan, perumahan dan pendidikan.

"Sekiranya terdapat permintaan untuk meningkatkan pengeluaran untuk tujuan lain dikhuatiri akan menjejaskan jumlah yang mencukupi untuk ahli bersara kelak," katanya, menjawab soalan Senator Datuk Goonasakaren Raman yang ingin tahu sama ada kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP untuk membayar balik hutang kad kredit.

KWSP menetapkan 70 peratus caruman untuk Akaun 1 dan 30 peratus untuk Akaun 2.

Bagaimanapun, Tee Yong berkata, kerajaan telah mewujudkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk membantu individu yang menghadapi masalah pengurusan kewangan dengan menawarkan khidmat nasihat dan kaedah pembayaran balik yang bersesuaian.

Sehingga September 2015, Tee Yong berkata lebih 141,000 peminjam telah berdaftar dan dibantu di bawah program pengurusan hutang yang dikendalikan AKPK.

Sementara itu beliau berkata, penetapan minda bahawa permohonan kad kredit boleh diperoleh dengan mudah adalah tidak tepat kerana mengikut statistik, kelulusan permohonan berada pada tahap 40 hingga 50 peratus sahaja.

Ia selari dengan syarat yang ditetapkan Bank Negara Malaysia bagi tujuan itu dengan mengambil kira pendapatan dan jumlah kad kredit individu. - Bernama

No comments