Terkini

Lelaki Mati Lemas Terperangkap Di dalam Saluran Air Sewaktu Menangkap Ikan

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berusia 35 tahun ditemui lemas selepas terperangkap di dalam saluran air ketika menangkap ikan di Kampung Bukit Petai, Tikam Batu, dekat sini, pada Sabtu.

Lelaki Mati Lemas Terperangkap Di dalam Saluran Air Sewaktu Menangkap Ikan

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu Yacob Ishak berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 11 pagi namun bomba hanya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.34 pagi.

Mayat mangsa, Ahmad Rizuan Abd Aziz berasal dari Kampung Bendang Baru, Kuala Nerang, berjaya ditemui pada pukul 1.48 tengah hari dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

"Kami terpaksa mengepam keluar air yang terdapat di dalam saluran air itu sebelum anggota penyelamat dapat masuk dan membawa mangsa keluar," katanya ketika dihubungi Bernama, Sabtu.

Yacob berkata mangsa dikatakan datang ke kawasan terbabit untuk menangkap ikan bersama dua lagi rakannya, Mohd Taufik Ramli, 22, dan Mohd Zuhairi Mahmud, 23.

"Mangsa dipercayai terperangkap di dalam saluran air, antara tali air dan bendang, yang mana saluran itu dianggarkan sepanjang 80 kaki dan seluas empat kaki, selepas air secara tiba-tiba melimpah memenuhi saluran itu," katanya.

Difahamkan, mereka bertiga yang biasa dengan kawasan itu, sudah mengepam keluar air yang berada di dalam saluran itu sebelum masuk, bagaimanapun disebabkan limpahan air secara tiba-tiba, Ahmad Rizuan terperangkap di dalam air manakala Mohd Taufik sempat ditarik keluar oleh Mohd Zuhairi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt Mohd Sabri Muhamad ketika dihubungi Bernama, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

"Mangsa dikatakan masuk dari laluan lain ke dalam saluran air itu, manakala rakannya memasuki laluan bertentangan. Seorang berjaya diselamatkan manakala mangsa terperangkap di dalamnya," katanya.
Mohd Taufik kini ditempatkan di HSAH dan keadaannya dilaporkan stabil.

No comments