Terkini

Detik Kiraan Tahun Baru Serentak Dengan Kiraan Berakhirnya Tol

KUCHING - Buat julung kalinya sambutan tahun baharu di sini akan diadakan secara besar-besaran, serentak dengan kiraan detik berakhirnya kutipan tol di Sarawak.

Detik Kiraan Tahun Baru Serentak Dengan Kiraan Berakhirnya Tol

Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Misnu Taha berkata, detik cukup bermakna itu akan disambut penuh gemilang kerana tepat pukul 12 tengah malam pada 31 Disember ini, kutipan tol di Jambatan Tun Abang Muhammad Salahuddin, Petra Jaya di sini akan dihentikan, sekali gus tiada lagi kutipan tol di Sarawak.

Beliau berkata, orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan acara sambutan yang akan bermula dari pukul 9 malam di pekarangan plaza tol itu, dengan sajian pelbagai pertunjukan pentas dan persembahan bunga api.

Bercakap kepada pemberita sejurus sebelum meninjau persiapan di pekarangan plaza tol itu, Misnu berkata, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dijangka hadir bagi memeriahkan sambutan itu.

Dalam ucapan penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri di sini baru-baru ini, Adenan mengumumkan pemansuhan kutipan tol di jambatan Tun Abang Muhammad Salahuddin pada tengah malam 31 Disember ini, sekali gus mengotakan janjinya untuk menghapuskan tol di Sarawak.

Kerajaan negeri memansuhkan kutipan tol di Jambatan Lanang di Sibu pada Mei

lalu dan kutipan tol di Jambatan Asean Baram pada bulan Jun lepas.

Sebagai rekod, kutipan tol di jambatan Tun Abang Muhammad Salahuddin yang menghubungkan kawasan bandaraya Kuching dengan Petra Jaya itu telah bermula

sejak tahun 2003.

Sementara itu Misnu berkata, beliau menjangka sekitar 10,000 hadirin akan membanjiri kawasan berkenaan pada malam sambutan itu.

Selain barisan artis daripada kalangan anak tempatan, antara penyanyi tersohor negara yang mengesahkan kehadiran mereka untuk membuat persembahan ialah Datuk Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah dan Amir Ukays.

Sehubungan itu, beliau berkata jalan utama menghala arah tol akan ditutup seawal pukul 6 petang untuk memberi laluan kepada persiapan dan acara sambutan pada hari berkenaan.

Menurutnya raptai majlis sambutan akan diadakan pada 29 Disember. - Bernama

No comments