Terkini

Daripada 766 Web Lucah, 209 Adalah Kendalian Tempatan

Cyberjaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat 766 laman sesawang lucah termasuk 209 ‘hasil tangan’ anak tempatan sehingga minggu pertama November tahun ini.

Daripada 766 Web Lucah, 209 Adalah Kendalian Tempatan

Jumlah itu adalah lebih banyak berbanding dengan hanya 109 laman sesawang lucah yang disekat oleh pihak SKMM sepanjang tahun lalu.

Tindakan sekatan terhadap laman sesawang lucah itu jelas meningkat, sekali gus membuktikan komitmen suruhanjaya itu dalam membanteras gejala laman sesawang lucah.

Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian, Penguatkuasaan dan Advokasi SKMM Zulkarnain Mohd Yasin berkata, peningkatan tindakan sekatan itu adalah hasil penguatkuasaan berterusan pihaknya bagi mengekang kegiatan penyebaran gambar dan video lucah menerusi rangkaian Internet.

Katanya, sebahagian 209 laman sesawang lucah yang disekat itu adalah dihasilkan rakyat negara ini manakala 557 laman sesawang lucah lagi adalah dari luar negara.

“Jumlah ini (209 laman sesawang lucah kendalian tempatan) yang disekat tahun ini agak besar berbanding empat kes diambil tindakan sama tahun lalu.

“Malah, peningkatan jumlah laman sesawang lucah luar negara sebanyak 557 yang diambil tindakan sejak Januari tahun ini jelas menunjukkan peningkatan berbanding 105 kes tahun lalu,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Beliau berkata, pihaknya serius membendung kegiatan jenayah itu apabila enam individu yang menghasil dan mengendalikan laman sesawang lucah sudah diberkas sejak 2014 hingga Oktober tahun ini.

“Semua mereka kini didakwa di mahkamah. SKMM akan mengenal pasti setiap pengendali laman lucah yang beroperasi di negara ini bagi memastikan mereka yang melakukan kegiatan itu tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Kebanyakan pengendali laman lucah ini dikesan memuat naik gambar dan video menerusi rangkaian Internet serta menyebarkannya menerusi pautan pelokasi sumber seragam atau URL untuk dimuat turun dan ditonton oleh pengguna,” katanya.

Zulkarnain memberitahu, pihaknya turut mengesan terdapat individu serta kumpulan yang memuat naik bahan pornografi untuk tujuan komersial bagi meraih keuntungan.

“Selain itu ada yang menawarkan perkhidmatan seks kepada pengguna. Bagaimanapun, saya kecewa apabila terdapat dalang dikesan yang bertindak memuat naik kandungan gambar dan video lucah bagi menjatuhkan maruah individu untuk tujuan tertentu.

“Saya beri amaran kepada mereka ini supaya menghentikan kegiatan dengan segera atau pegawai penguat kuasa SKMM dan polis menyerbu kediaman mereka,” katanya.

Zulkarnain turut memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk menyekat laman lucah dari luar negara.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya mengamalkan kawalan kendiri dan mengelak daripada menggunakan kemudahan internet bagi tujuan tidak bermoral.

“Kami juga berharap orang ramai terus bekerjasama dengan pihak SKMM dan membuat aduan jika mengesan terdapat penyebaran kandungan lucah di rangkaian internet menerusi pelbagai medium seperti laman sesawang, blog, pautan URL, media sosial dan sebagainya,” katanya.

hmetro

No comments