Terkini

Kek Soto Tiga Tingkat Yang Jadi Viral Di Laman Sosial

Kuala Lumpur: “Pada mulanya saya cuma berhasrat merealisasikan impian bapa mentua yang ingin menikmati soto hasil air tangan menantu tetapi tidak menyangka ia menjadi viral di Facebook,” kata Dr Hazman Jalil.

Kek Soto Tiga Tingkat Yang Jadi Viral Di Laman Sosial
Kek Soto yang dihasilkan oleh sendiri oleh Dr.Hazman

Pengamal perubatan berusia 27 tahun itu berkata, sebelum itu tidak terlintas di fikirannya untuk menghasilkan kek soto di majlis menyambut menantu yang diadakan di Kampung Jawa Chaah, Johor pada 26 Disember lalu.

Bercerita lebih lanjut kepada Harian Metro, Dr Hazman berkata, dia sememangnya tidak mahu menyajikan kek bertingkat seperti mana kebiasaan yang dilakukan oleh pengantin lain.

“Sebelum itu, saya berhasrat untuk membuat kek pulut kuning tetapi kemudiannya ditukar menjadi kek soto pada saat akhir iaitu sehari sebelum majlis apabila teringat ‘hajat’ bapa mentua yang teringin menikmati soto hasil air tangan saya.

“Selain itu, saya juga ingin membekalkan makanan kepada keluarga pengantin perempuan selepas mereka pulang dari majlis,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kek soto setinggi tiga tingkat itu menjadi viral di laman sosial dengan hampir 40,000 ‘like’ dan 6,000 perkongsian cerita oleh orang ramai di Facebook.

Biarpun hasrat itu tidak disokong oleh ahli keluarga kerana bimbang pengantin lelaki tidak cukup masa untuk memasak dan bersiap, Dr Hazman tetap mengambilnya sebagai cabaran.

Dia berkata, walaupun tidak cukup tidur kerana menyiapkan dekorasi pelamin sendiri pada awal pagi sebelum majlis bermula, dia tetap menggagahkan diri untuk memasak soto pada hari berkenaan.

Pada masa sama, dia bernasib baik kerana dibantu ibu saudara dan sepupunya bagi memastikan kek soto dapat disiapkan sebelum rombongan pengantin perempuan sampai.

“Saya bernasib baik kerana minat untuk memasak sentiasa ada tambahan pula ibu juga mempunyai restoran nasi ayam dan soto membuatkan saya tidak kekok berada di dapur.

“Selepas mula memasak sekitar jam 7 pagi, kek soto berjaya disiapkan dalam masa hampir tiga jam dengan anggaran untuk 60 orang makan,” katanya.

Dr Hazman berkata, dia juga tidak menyangka kek itu mendapat pujian ramai kerana unik dan menampilkan eleman makanan tradisional sebagai kek, selain lari daripada kebiasaan.

“Saya berpuas hati kerana dapat menghasilkannya sendiri dan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk hari bersejarah mereka nanti,” katanya.

Kek Soto Tiga Tingkat Yang Jadi Viral Di Laman Sosial
DR Hazman bersama pasangannya, Dr Shazlin Sabaah.


-sumber,hmetro

No comments