Terkini

Bahan kimia dalam cecair itu boleh menyebabkan gangguan pernafasan

Bahan kimia yang digunakan dalam cecair vape sama dengan yang dikaitkan dengan penyakit paru-paru, menurut kajian Harvard.

 Bahan kimia dalam cecair itu  boleh menyebabkan gangguan pernafasan


Diasetil, sejenis bahan kimia dalam cecair itu, boleh menyebabkan gangguan pernafasan bronkiolitis obliteran.

Kajian itu dimuat dalam jurnal perubatan Environmental Health Perspective, yang mendapati diasetil ditemui dalam 39 daripada 51 perasa rokok elektronik yang disemak.

Ditemui juga sekurang-kurangnya satu daripada tiga bahan kimia perasa dalam 92 peratus perasa yang diteliti.

Dua lagi bahan ditemui termasuk 2,3-pentanedione (pengganti diasetil) dan asetoin, bahan yang selalu digunakan untuk pembuatan karamel, butterscotch dan perasa strawberi.

“Ini termasuk beberapa perasa rokok elektronik yang bukan berperisa buah-buahan atau gula-gula, seperti 'klasik' dan 'mentol',” menurut data kajian Joseph G Allen dan beberapa orang lagi.

Setakat ini, saintis dan pegawai perubatan berbeza pendapat berhubung kesan rokok elektronik kepada kesihatan.

Awal tahun ini, agensi dalam Jabatan Kesihatan United Kingdom, Public Health England, menggesa perokok beralih kepada vape kerana merasakan ia jauh lebih selamat berbanding rokok biasa.

Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Dunia dan saintis-saintis di sekolah perubatan di Universiti Liverpool pula menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan penggunaan vape.

No comments