Terkini

Dipenjara lima tahun dan empat sebatan kerana menipu di laman web mudah.my

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menipu seorang guru dan sepasang suami isteri berhubung penjualan rumah di laman web mudah.my tahun lalu.

Dipenjara lima tahun dan empat sebatan  kerana menipu di laman web mudah.my
Gambar Hiasan

Hakim Nor Sharidah Awang membuat keputusan itu selepas mendapati Mazrin Abd Aziz, 39, bersalah terhadap pertuduhan tersebut di akhir kes pembelaan.

Mahkamah mendapati Mazrin yang tidak diwakili peguam, gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah selain keterangan tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata dan keterangan tertuduh tidak disokong mana-mana saksi dan dokumen.

Dalam prosiding itu, bagi pertuduhan pertama mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan selepas mendapati tertuduh bersalah menipu seorang guru, Nur Zaiti Ikmal Dzainuddin manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh dipenjara tiga tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah menipu Muhammad Nazri Ahmad Saghr, 33, dan Fatimah Abdullah, 34.

Mahkamah mengarahkan Mazrin menjalani kedua-dua hukuman tersebut secara berasingan bermula dari tarikh ditangkap iaitu 20 Mac lalu.

Dalam prosiding itu, hakim Nor Sharidah turut berkata mahkamah mengambil kira tertuduh menggunakan modus operandi yang sama iaitu menggunakan laman web sama dan rumah yang sama untuk menipu mangsa.

Bagi pertuduhan pertama, Mazrin didakwa menipu Nur Zaiti dengan memperdayakan untuk mempercayai tertuduh boleh menjual sebuah rumah yang bukan miliknya, yang beralamat di 23 Jalan Mutiara 4/4 Taman Selayang Mutiara, Batu Caves, Selangor.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Restoran Azhar Batu 1/2 Jalan Ipoh, Daerah Sentul, di sini pada 2.30 petang, 27 Mac 2014, dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, Mazrin didakwa menipu pasangan suami isteri tersebut untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM15,000 kepada tertuduh iaitu merupakan bayaran 10 peratus deposit untuk tujuan menjual rumah yang sama.

Mazrin didakwa melakukan kesalahan itu di bangunan Ambank Jalan Yap Kwan Seng, pada 4 petang, 30 Mac 2014, dan didakwa mengikut seksyen sama.

Mengikut fakta kes, ketiga-tiga mangsa berurusan jual beli rumah tersebut yang berjumlah RM280,000 dengan tertuduh melalui laman web tersebut. Beberapa jumlah bayaran dibuat secara berperingkat, bagaimanapun mereka gagal mendapatkan rumah tersebut.

Hasil siasatan mendapati, rumah tersebut adalah milik individu lain iaitu Khairul Anuar Amin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S. Malini Anne memohon hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh kerana kesalahan tersebut adalah serius.

Bagaimanapun, Mazrin dalam rayuannya memohon mahkamah mengambil kira dia perlu menyara keluarga dan adiknya yang masih bersekolah selain memohon mahkamah menempatkannya di Penjara Sungai Buloh bagi memudahkan keluarga melawatnya. – BERNAMA

No comments