Terkini

Serba Serbi Hijau Kuning, Termasuk Warna Ais Kacang

SUNGAI PETANI: Pelbagai ragam ditampilkan penyokong skuad Kedah dalam memberikan sokongan terhadap pasukan kesayangan mereka yang akan beraksi menentang Selangor dalam saingan final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam esok.

Serba Serbi Hijau Kuning, Termasuk Warna Ais Kacang


Bagi pasangan Mohd Rosdi Mat, 42, dan isteri, Suhaida Mohd Noor, 38, mereka memilih untuk menyediakan menu khas iaitu ais kacang hijau kuning kepada pelanggan yang datang menjamu selera di gerai mereka di Pantai Merdeka, di sini.

Mohd Rosdi berkata, idea menyediakan ais kacang hijau kuning mengikut tema warna rasmi Kedah, selain air hijau kuning kepada pelanggan timbul selepas skuad Helang Merah layak ke perlawanan akhir selepas menewaskan FELDA United FC, baru-baru ini.

"Sejak Ahad lalu, kami mula sediakan ais kacang dan ais hijau kuning kepada pelanggan yang datang ke gerai kami di Pantai Merdeka.

Kami juga mengecat dan menghias gerai makan dengan warna tema hijau kuning.

"Selain itu, semua pekerja di kedai makan kami turut memakai jersi hijau kuning ketika melayan pelanggan bagi menyatakan sokongan padu kepada skuad Helang Merah.

"Alhamdulillah, idea kami ini mendapat sambutan baik daripada pelanggan...biarpun ia dilihat janggal, tetapi bagi peminat pasukan Kedah mereka nyata menyukainya dan memberikan sokongan," katanya.

Mohd Rosdi berkata, sejak menggunakan tema berkenaan, gerai miliknya turut menjadi tarikan orang ramai dan menu ais kacang hijau kuning terbabit akan dikekalkan sehingga aksi final berakhir.

"Sebagai penyokong setia, kami harap Kedah dapat menewaskan Selangor untuk muncul sebagai juara...saya sendiri dan keluarga akan ke Stadium Shah Alam bagi menonton perlawanan akhir itu," katanya.

- bharian

No comments