Terkini

“Itu Yang Dah Keluar Lapan Orang Itu, Takkan Aku Masih Dianggap Tidak Melayan Dia...

Cerita Wani, dia sudah mempunyai lapan orang anak dan tidak lama lagi mempunyai seorang cucu dan tinggal jauh di sebuah kampung pedalaman di Pahang kerana mengikut suaminya ke sana. Kehidupannya sekarang amat sibuk kerana menguruskan anak-anak sekolah, tambahan dengan kehidupan yang serba sederhana menyebabkan dia tidak berkesempatan untuk selalu menghubungi rakan-rakan.

 “Itu Yang Dah Keluar Lapan Orang Itu, Takkan Aku Masih Dianggap Tidak Melayan Dia...


Kesempatan pada hujung minggu, diambil untuk menghubungi Wani sekadar untuk bertanya khabar. Pada awalnya dia tidak mengingati wajah, namun lama-kelamaan, dia menyatakan mungkin mengenali saya sekiranya bertemu berhadapan.

Pelbagai cerita dibicarakan bersama kerana dia adalah seorang wanita yang sangat ceria dan peramah, sehinggalah dia mengadu yang dirinya setiap hari amat penat.

“Anak aku kecil-kecil lagi. Yang sulung tu pun dah gatal sangat nak berkahwin, aku bagi kahwin selepas habis SPM. Sekarang ini tengah tunggu masa hendak bersalin. Lakinya pun seorang petani sahaja. Tapi tak apalah, asalkan dia tidak melakukan dosa, aku kasi kahwin cepat-cepat.

“Sekurang-kurangnya waktu aku keluar berniaga dia yang tengok adik-adiknya di rumah. Hendak suruh dia berniaga di di pasar, kandungannya dah sarat sangat. Nak harapkan laki sendiri... inilah yang peliknya dengan laki aku ni.

“Dari dulu masa aku mula berkahwin sampai sekarang, dah hendak dapat cucu ni, tak pernah berubah perangainya. Kau cuba bayangkan suami aku ini hanya kerja kampung sahaja. Kalau ada orang yang datang mencari meminta mencantas apa yang patut, adalah yang beri upah. Itulah pendapatan yang dia ada.

“Kalau tidak, dia duduk melongo sahaja di rumah. Makan dan tidur sahaja tahu kerjanya. Anak setiap tahun bertambah tetapi duit tak juga tambah-tambah,” katanya sambil ketawa.

Wani memang kelakar, dia sangat pandai berseloroh sehinggakan aku pasti orang macam itu kehidupannya memang setiap hari ceria biarpun dalam hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Ceritanya, setiap hari semua perkara hendak diuruskan dari menghantar anak ke sekolah, mengambil anak, berniaga sayur di pasar, membuat kuih untuk dihantar ke gerai, mengurus rumah dan menyediakan keperluan suami dan anak-anak.

Kalau mendengar ceritanya, Wani ini boleh dianggap sebagai superwoman.

Selagi dia kuat dan sihat, selagi itu kudratnya berjalan untuk memberi makan anak-anak. Hendak harapkan suami sahaja, mungkin sukar.

Tetapi apa yang paling mengejutkan Wani ialah apabila dua tahun kebelakangan ini dia mendapat tahu suaminya telah berkahwin lain.

“Apa yang aku geram sangat, laki aku tu, dalam diam-diam boleh pula kahwin lain. Bukannya seorang, tapi dua orang. Masalahnya apa yang dia hendak bagi anak-anak yang baharu lahir itu makan. Apa nafkah yang dia hendak berikan kerana dia sendiri tidak mempunyai duit, dan tiada pekerjaan tetap. Anak-anak dia yang ada ni pun tidak dapat makan, inikan pula hendak kahwin ramai. Itu yang aku geram.

“Bersama isteri kedua, dia mendapat dua orang anak kecil setahun satu, dengan isteri yang ketiga, perempuan itu masih mengandung. Apalah hendak jadi.

“Apa yang aku hairan sangat, mengapalah perempuan-perempuan itu hendak berkahwin dengan dia, sedangkan mereka tahu dia tidak bekerja. Tahulah dia pandai membuat ayat, tetapi kenyang ke perut kalau asyik dengar dia bercakap.

“Itu sahaja yang dia pandai, buat anak sahaja tahunya. Itu kalau minta tolong uruskan anak-anak pun belum tentu dia tahu,” kata Wani dengan nada sinis di hujung talian.

Wani memberitahu, nasib baik madu-madunya itu duduk di daerah yang agak berjauhan dengan daerahnya, jadi dia tidak dapat bertemu mereka. Apa yang dihairankan, bila pula suaminya itu berkahwin.

“Sebaik aku mengetahui dia berkahwin lagi, aku mula naik hantu. Pernah aku minta cerai daripadanya.

“Tetapi lama-kelamaan aku biarkan sahaja. Lantak kaulah hendak jadi apa. Aku ini sudah tidak larat hendak menanggung biawak hidup macam dia. Banyak menyusahkan daripada memberi kebaikan.

“Bila aku tanya kenapa kahwin lain, boleh pula dia kata aku tiada masa hendak layan. Itu lagi buat aku naik darah.

“Bagaimana hendak layan dia betul-betul, pakai cantik-cantik sedangkan aku sendiri kalut menyelesaikan semua perkara dan menguruskan anak-anak dari pagi sehingga ke malam. Bila sampai waktu malam aku sudah tentu penat dan saat itu waktu aku dapat melelapkan mata dan berehat secukupnya sebelum bergelut esok hari.

“Itu yang dah keluar lapan orang itu, takkan aku masih dianggap tidak melayan dia. Dasar lelaki buas,” katanya sambil menyeringai di talian.

Mendengar celotehnya, tidak tahu bagaimana emosinya. Sama ada dia sebenarnya bersedih atau rasa tidak kisah, dengan apa yang berlaku.

Apa pun timbul rasa hormat kepada wanita ini yang pandai menguruskan anak-anak dan mencari rezeki tanpa menyusahkan sesiapa semata-mata untuk membesarkan anak-anak.

Kecuali yang sulung, khabarnya anak-anak yang lain tergolong dalam anak murid yang pintar dalam kelas ketika waktu peperiksaan.


Kisah Keluarga

No comments