Terkini

Dr.Zeti Akhtar Aziz Dari Sudut Pandangan Seorang Wartawan

Tidak, saya tidak mengenali beliau secara peribadi. Namun, saya mengenali beliau secara profesional iaitu antara seorang wartawan dan seorang Gabenor.

Dr.Zeti Akhtar Aziz Dari Sudut Pandangan Seorang Wartawan
Dr. Zeti Akhtar Aziz, wanita yang meninggalkan sejarah hebat untuk negara Malaysia.

Semuanya bermula pada lima tahun dahulu. Waktu itu kali pertama saya melaporkan pembentangan prestasi ekonomi negara oleh Gabenor Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Momen itu berlaku di tingkat 16 bangunan Bank Negara, tempat yang bukan asing buat kebanyakan wartawan yang biasa membuat liputan pembentangan ekonomi.

Situasi akan tetap sama. Wartawan tiba, polis akan iringi kami naik ke tingkat 16 dan kami akan menulis butiran dalam buku log tetamu. Kami akan pilih tempat duduk dan pergi menjamu selera sebelum kembali memasuki dewan.

Selepas semua wartawan mengambil tempat, tenaga kerja Bank Negara dari pelbagai bahagian akan mengambil tempat masing-masing, diikuti tiga timbalan gabenor yang akan memasuki dewan dan mengambil tempat duduk masing masing.

Tidak lama selepas itu, Zeti melangkah masuk dan duduk di kerusi beliau di tengah-tengah meja bulat. Zeti sentiasa mengenakan busana kurung biru dan dua utas rantai mutiara. Sejurus selepas beliau duduk, beliau memulakan ucapan dengan suaranya yang serak basah tetapi penuh keyakinan.

Zeti bukan calang-calang individu. Setiap wartawan amat menghormati beliau. Ini jelas terlihat ketika sesi soal jawab selepas pembentangan.

Saya pula sebagai wartawan baharu ketika itu, sudah pasti masih belum tahu selok belok menulis setiap butir yang dibincangkan dalam sidang media tersebut.

Saya masih ingat pembentangan prestasi ekonomi suku ketiga 2015, di mana salah seorang wartawan senior bangun dan memperkenalkan diri. Soalannya tentang 1MDB.

“I’m sorry Governor to ask this...”, dan kemudian beliau menyambung soalan.

Tidak pernah sepanjang lima tahun saya menjadi wartawan, orang mengucapkan ‘kata maaf’ sebelum bertanya soalan. Barangkali wartawan senior itu tidak mahu soalan itu bersifat sensitif atau menyinggung Zeti.

Namun seperti biasa, wanita melepasi setengah abad itu menjawab dengan tenang dan jelas sehingga tiada soalan susulan. Hakikatnya, beliau sentiasa menerima semua soalan. Tiada apa yang dielakkannya.

Zeti yang saya kenali tidak pernah menolak sebarang soalan tidak kira walau sukar persoalan yang diajukan. Sidang medianya, kuasa kawalan adalah padanya!

MENJAWAB KHABAR ANGIN

Saya masih ingat ketika khabar angin bertiup mengatakan beliau dimasukkan ke hospital dan tidak sihat.

Itu berlaku di tengah-tengah isu hangat 1MDB dan pelbagai isu ekonomi. Zeti pula ketika itu tidak membuat penampilan di mana-mana media dan masih belum membuat komen tentang isu hangat berkaitan bank pusat mahupun tentang peribadi beliau.

Itulah sidang media paling lama pernah saya hadiri. Dua jam sesi soal jawab sahaja!

Hinggakan jurukamera saya datang kepada saya memberitahu bahawa “tape dah habis”, dan secara spontan saya minta dia pinjam pita dari jurukamera lain untuk digunakan, dan tentunya diganti kemudiannya.

Soalan yang dilontar wartawan bukan mudah, semuanya sukar untuk dijawab. Saling berkait antara satu sama lain dan nampak gaya sidang media tersebut seperti tidak akan berakhir.

Begitupun, Zeti menerima dan menjawab dengan tenang setiap persoalan, malah beliau sempat berseloroh: “Never in my 16 years i’ve seen a lot of media like this” (tidak pernah sepanjang 16 tahun saya melihat media seramai ini).

Memang benar, situasi di dalam bilik itu sungguh padat. Itulah kali pertama Zeti berdepan media seramai itu dan sudah pasti beliau sudah menjangkakan soalan-soalan sukar yang ‘ditembakkan’ kepadanya.

Usai membentang prestasi ekonomi, Zeti memberitahu untuk fokus kepada soalan ekonomi terlebih dahulu sebelum bertanya soalan lain dan perkembangan lain.

Bagaikan peluru yang ditangkap kemas dengan kudrat genggaman, Zeti menjawab tenang setiap soalan. Itulah juga kali pertama saya rasa tidak cukup tangan untuk mencatat berita dan cerita yang digarap dari sidang media tersebut.

Salah satu soalan yang paling menarik adalah: “Governor, there are a lot of rumors saying you were hospitalised, how are you?” (Gabenor, banyak khabar angin mengatakan anda anda dimasukkan ke hospital, anda sihat?).

Semua orang tertawa termasuk Zeti.

“No, i wasn’t hospitalised. I often check my health condition from time to time and the doctor said that my heart is still strong” (Tidak, saya tidak dimasukkan ke hospital. Saya selalu melakukan pemeriksaan kesihatan dari semasa ke semasa dan doktor memberitahu jantung saya masih kuat).

Jawapan bersahaja itu disambut gelak tawa semua orang di dalam bilik tersebut.

TEGAS DAN JELAS

Adakalanya beliau akan dibantu oleh timbalan-timbalannya ketika menjawab terutama berkaitan perundangan dan isu-isu sensitive. Bukan kerana beliau tidak tahu, tetapi lebih kepada tugasan dan tanggungjawab masing-masing yang menguruskan bahagian tertentu.

Beliau bagaimanapun akan tetap mengulas meskipun sedikit. Ini saya sifatkan susunan terbaik dalam penyampaian maklumat. Tidak berterabur, tidak mengelirukan.

Bukan semua orang boleh terima semua soalan. Saya menemu bual banyak individu ternama namun tidak semua mampu menjawab semua soalan - sama ada enggan, atau tidak menjawab dengan jelas dan baik.

Tapi Zeti bukan orangnya. Jawapan Zeti tidak pernah tidak jelas dan sentiasa konsisten.

Contohnya ketika negara sibuk bercakap tentang Bank Negara perlu menambat kembali Ringgit kerana nilainya merosot teruk tahun lepas. Zeti kekal dengan jawapan sama di mana-mana sekalipun beliau ditanya.

Untuk media antarabangsa sekalipun, jawapan beliau sama sahaja setiap butir. Tidak pernah mengelirukan, tidak pernah tidak jelas, tidak pernah berubah-ubah.

Ada satu lagi acara melibatkan Zeti yang saya tidak akan lupakan.

Rakan setugas saya pernah pergi ke majlis pecah tanah yang dirasmikan oleh beliau. Namun berbeza dengan majlis lain, waktu itu Zeti menaiki jengkaut dan mengendalikan jentera tersebut sebagai simbolik pecah tanah.

Lebih menarik, Zeti dalam acara itu tetap dengan fesyen kebanggaannya - berbaju kurung. Nampak anggun, pada masa yang sama kelihatan berkuasa!

WANITA BESI

Jika ada individu yang boleh kita boleh banggakan, Zeti adalah antara nama yang teratas.

Namanya bukan sahaja diakui di peringkat domestik, malah harum ke peringkat antarabangsa lantaran menerima aanugerah Gabenor Bank Pusat terbaik dunia, serta dicalon menjadi Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Bukan mudah untuk bertemu kualiti seperti Zeti. Sudah pasti kredibiliti dan rasa hormat itu dibina sepanjang 36 tahun beliau bersama bank pusat. Sudah pasti ia ‘a big shoe to fill’ buat pengganti beliau. Namun, kita juga perlu akui, Datuk Muhammad Ibrahim bukanlah calang-calang pengganti.

Sesungguhnya saya tidak sabar menanti buku yang ingin ditulis oleh Zeti seperti yang beliau janjikan pada pertemuan kali terkahir saya dalam pembentangan prestasi ekonomi tahun penuh 2015.

Saya juga akan terus mengingati beliau sebagai seorang yang sentiasa mengejutkan wartawan dengan perbendaharaan kata yang luar biasa.

Saya akan terus mengingati perofesionalisme, karaktor, wibawa dan karisma yang dibawakan individu hebat ini.

Saya juga akan merindui wanita yang elegan berbaju kurung biru dalam hampir kesemua acara rasmi yang dihadirinya - meskipun sedang mengendalikan sebuah jengkaut!

Terima kasih tidak terhingga atas segala khidmat bakti.

Tan Sri Zeti Akhtar Aziz - truly an iron lady!

BERIKUT ADALAH BEBERAPA KUTIPAN KATA ZETI:

“Often people told me that Malaysian never needed to implement such measures because others who didnt recovered about the same time, that is absolutely correct. We all did recover at the same time, but there was one significant difference, that Malaysia recovered at significantly much lower cost, lower fiscal cost, cost to the taxpayers, shareholders, in terms of labour dislocation were all minimized. Surely that is important in managing a crisis.”

(Kerap kali orang memberitahu saya Malaysia tidak perlu melakukan langkah sedemikian (kawalan modal) kerana negara lain yang tidak melakukan langkah tersebut juga pulih pada masa sama. Itu benar sama sekali. Kita semua pulih dalam tempoh sama. Tetapi wujud satu perbezaan ketara. Malaysia pulih pada kos yang sangat rendah, kos kepada fiskal, kos kepada pembayar cukai, kos kepada pemegang saham, dari segi pembuangan pekerja, semua diminimumkan. Sudah tentu ini penting dalam menguruskan krisis)

- ketika menjawab soalan tentang kawalan modal diperkenalkan Malaysiapada 1998. Temu bual oleh Bloomberg.


“Certainly you need nerves of steel, because under no circumstances that if you show any sign of wavering or indecision than you’d lose confidence. Confidence is such an important factor in crisis, when confidence become fragile, it is so difficult to rebuilt it again."

(Sudah tentu anda perlu bertegas, kerana dalam keadaan apa pun jika anda menunjukkan tanda kegoyahan dan tidak pasti, anda akan hilang keyakinan, keyakinan merupakan faktor penting dalam krisis. Apabila keyakinan rapuh, sukar untuk dibina semula.)

- ketika menjawab soalan tentang kawalan modal diperkenalkan Malaysia pada 1998. Temu bual oleh Bloomberg.


“I am a highly focused person, focused on what are the objectives I want.. what are the goals,what are the outcomes, and I had great clarity in my mind about what's needed to be achieved and transformation of the financial system, how we would build resilience. It is all about actually building resilience of the economy, of the financial system, and of the bank as well, the institutional resilience is equally important. So I found it very exciting and exhilarating to be involved in that.”

(Saya merupakan individu yang sangat fokus, fokus kepada objektif yang dimahukan, apa unjuran yang dimahukan, apa hasil, dan saya tahu dengan jelas apa yang diperlukan untuk mencapai hasrat tersebut dan transformasi sistem kewangan, dan bagaimana kita membina daya tahan. Ia berkenaan membangunkan daya tahan ekonomi, sistem kewangan dan bank, daya tahan institusi amat penting. Jadi saya rasa teruja dan menyeronokkan terlibat secara langsung.)

- Temu bual bersama CNBC.


“I have always maintain a professional relationship not only with the politicians but also with the industry. So it is a sacrifice actually for whoever takes on the position of the governor, because you cannot build up any close relationship with politicians or with the financial industry. So who have been my friends? They are actually other central bankers and they will probably be what I will miss the most, the long lasting friendships that we meet all the time as central bankers. We are very cohesive and close knit and that is the community I will miss.”

(Saya sentiasa mengekalkan hubungan profesional tidak hanya dengan ahli politik tetapi juga dengan industri. Ia pengorbanan bagi sesiapa sahaja yang berada di posisi gabenor, kerana anda tidak boleh membina hubungan yang rapat dengan ahli politik atau industri. Jadi siapakah rakan saya? Mereka adalah ahli bank-bank pusat dan mereka akan menjadi individu yang saya sangat rindui, hubungan rakan lama di mana kami kerap bertemu sebagai ahli bank pusat. Kami sangat rapat dan itulah komuniti yang saya akan rindui.)

- Temubual bersama CNBC


sumber - astroawani

No comments