Terkini

Tangki Tiba-tiba Tergolek Dan Hempap Kereta Saya..

KUALA PILAH - ‎Seorang warga emas apabila nyaris maut setelah kereta yang dipandunya secara tiba-tiba dihempap sebuah tangki air kosong dari arah hadapan di Jalan Batu Kikir- Tengkek berhampiran kampung Terentang, pagi semalam.

Tangki Tiba-tiba Tergolek Dan Hempap Kereta Saya..
Kereta Perodua Viva En.Alias remuk dihempap tangki air yang tiba-tiba jatuh dari lori

Difahamkan, mangsa, Alias Nordin, 62, memandu sendirian kereta jenis Perodua Viva dalam perjalanan dari Pekan Batu Kikir menuju ke rumahnya di Rumah Rakyat Padang Lebar jam 11.30 pagi.

Kata Alias, dia telah mula mengekori sebuah lori membawa tangki air kosong itu dari simpang Batu Kikir lagi.

Bagaimanapun, dia tidak boleh memotong lori berkenaan ekoran keadaan lori besar dan lebar hingga menutup pandangan kenderaan dari arah bertentangan.

“Namun, apabila tiba di lokasi kemalangan di Kampung Terentang, tangki air kosong yang diletakkan di belakang lori berkenaan telah tersangkut pada kabel telekomunikasi yang melintangi jalan.

“Secara tiba-tiba tangki itu telah terjatuh dari atas lori. Insiden itu betul-betul depan mata saya. Saya cuba elak ke arah kanan jalan tetapi tangki itu terus melantun lalu menghempap kereta saya dari arah depan.

"Kereta saya memang remuk teruk namun saya bersyukur hanya mengalami cedera ringan di pergelangan tangan kiri,” katanya.

Jelas Alias, difahamkan tangki air berkenaan milik Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dianggarkan berkapasiti 600 gelen air.

Katanya, tangki itu akan dihantar ke kampung Sungai Jelutong bagi tujuan pemasangan di kampung berkenaan.

Dalam pada itu, wakil Sains telah menziarah mangsa di rumah sejurus kejadian dan memohon maaf atas apa yang berlaku.


SinarOnline

No comments