Terkini

Suntikan Kimia Kembiri Dianggap Penderaan, Langgar Hak Asasi

PETALING JAYA: Suntikan kimia kembiri untuk perogol kanak-kanak yang diperkenalkan Indonesia tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana ia satu bentuk penderaan.

Suntikan Kimia Kembiri Dianggap Penderaan, Langgar Hak Asasi

Peguam hak asasi manusia, Eric Paulsen berkata, pelaksanaan hukuman itu dilihat bertentangan undang-undang antarabangsa dan salah dari segi kebebasan hak asasi manusia.

Tambahan, suntikan itu bukan langkah penyelesaian terbaik bagi menangani kes rogol.
“Memang tidak patut hukuman itu dijalankan sebab sekiranya hukuman itu ingin dilakukan ia perlu (dibuat) dengan sukarela.

“Dalam prosedur ini, kita anggap ia sebagai penderaan kerana keberhasilan pelaksanaan hukuman itu juga diragui keberkesanannya. Perkara itu juga ditentang beberapa doktor pakar di Indonesia,” katanya kepada FMT ketika ditanya adakah Malaysia perlu mengikut tindakan negara jiran memperkenalkan hukuman seperti suntikan kembiri dalam usaha mengurangkan kes rogol.

Presiden Indonesia, Joko Widodo sebelum ini meluluskan hukuman itu dan memasang alat pemantau terhadap perogol yang dibebaskan dari penjara.

Ia susulan kejadian rogol dan bunuh seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun oleh 14 lelaki mabuk di Bengkulu, Sumatera April lalu.
Undang-undang baru itu memperuntukkan hukuman penjara 10 hingga 20 tahun, hukuman penjara seumur hidup dan hukuman mati, selain hukuman kembiri secara kimia, pendedahan identiti serta pemasangan alat pengesan elektronik pada pesalah.

Sementara itu, penganalsis politik, Dr Abdul Aziz Bari berkata, sekiranya Malaysia mahu melaksanakan hukuman itu, satu kajian menyeluruh dan pandangan pakar perlu dilakukan bagi mengelakkan pertikaian.

“Kena ada kajian sama ada hukuman ini terbukti berkesan atau tidak. Tidak boleh laksanakan terus. Selain kajian, kena ada pandangan pakar diambil kira,” katanya.

FMT

No comments