Terkini

Bapa Tekad Cari Perogol Anaknya

Bapa kepada seorang gadis yang didakwa menjadi mangsa rogol sekumpulan pelajar sekolah nekad tidak akan berdiam diri selagi kesemua pelaku yang merogol anaknya tidak menerima hukuman setimpal di atas jenayah yang mereka lakukan.

Bapa Tekad Cari Perogol Anaknya
Bapa Tekad Cari Perogol Anaknya 

Tak akan henti perjuang hak anak

Ngoi, 48, berkata, anaknya pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah di Tioman kini trauma akibat kejadian itu.

Menurutnya, dia tidak akan berhenti berjuang untuk mendapatkan keadilan buat anak tunggalnya itu malah perjuangannya baharu sahaja bermula walaupun beberapa ahli keluarga pelaku tampil menemuinya merayu agar menarik semula laporan polis yang dibuat.

“Saya mahu memperjuangkan hak anak saya. Anak saya diperlakukan begitu kejam apabila merogolnya secara bergilir-gilir dalam satu masa.

“Saya tidak boleh terima kejadian ini kerana ia mengganggu emosi anak saya malah kehidupannya kini bergantung kepada pil penenang bagi membolehkan dia tidur,” katanya dalam sidang media di Pejabat Komuniti PKR di sini, semalam.

Katanya, kes ini masih dalam siasatan pihak polis, bagaimanapun beliau berharap agar kesemua mangsa yang terlibat dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

“Saya mahu pelaku yang terlibat dikenakan hukuman setimpal tapi saya tak akan maafkan apa yang mereka lakukan pada anak saya,” katanya.

Tambahnya, dia mengetahui berhubung kes itu selepas pihak sekolah memintanya hadir pada 19 Mei lalu.

Ngoi berkata, pihak sekolah memaklumkan mengenai penyebaran gambar lucah anaknya bersama seorang lelaki di laman sosial seperti Facebook dan aplikasi WeChat.

“Saya terkejut dan bawa anak pulang kerana dia berada dalam keadaan trauma sebelum membuat laporan polis pada 20 Mei lalu,” katanya.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh anaknya, pada cuti sekolah pertengahan bulan Mac lalu, remaja itu mendakwa dia dirogol secara bergilir-gilir selepas diberikan minuman bergas oleh salah seorang pengawal keselamatan sebuah premis bangunan di Tioman.

Remaja itu mendakwa dia berasa pening dan khayal sebelum rebah kemudiannya menyedari ada seorang lelaki mendukungnya dan membawa masuk ke dalam sebuah bilik dan terus membaringkannya di atas sofa.

Mangsa dalam laporan itu, memaklumkan kenal pelaku yang bertindak merogolnya bergilir-gilir.

Kejadian sama didakwa berulang pada 7 Mei lalu, selepas mangsa pulang dari sebuah restoran di Kampung Tekek, Tioman sebelum dia dipanggil seorang lelaki yang dikenali dan mengajaknya melakukan hubungan seks namun ditolak.

Bagaimanapun, dia diperdaya oleh seorang rakan yang memaksanya melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki sebelum gambar bogelnya dirakam.

Dalam pada itu, Ngoi berkata, anaknya kini sedang mengikuti sesi kaunseling bagi memberi semangat kepadanya untuk terus menjalani kehidupan seperti biasa.

Sementara itu, Adun Teruntum, Sim Chong Siang meminta polis segera jalankan siasatan bagi mengesan pelaku yang terlibat dalam kes ini.

“Kita sebolehnya akan membantu untuk memastikan keadilan menyebelahi mangsa,” katanya.

Beliau turut menasihatkan mangsa kes rogol perlu berani tampilkan diri membuat laporan polis selepas kejadian tersebut menimpa mereka.



Sumber: Sinar Harian

No comments