Terkini

Guru Hamil Gara-gara Jalin Hubungan Seks Dengan Murid 'Hampir Setiap Hari'

ALEXANDRIA M. Vera, seorang guru wanita mengajar Bahasa Inggeris di sekolah menengah Stovall di Houston, Texas ditahan pihak berkuasa pada Rabu atas tuduhan jenayah penderaan seksual berterusan ke atas salah seorang anak muridnya yang berusia bawah 14 tahun.

Guru Hamil Gara-gara Jalin Hubungan Seks Dengan Murid 'Hampir Setiap Hari'
Vera, 24, mendakwa hubungannya dengan pelajar 13 tahun itu bukan sahaja direstui tetapi dirai
ibu bapa pelajar tersebut. 

Pihak polis mengambil masa dua bulan menyiasat kes berkenaan dan penangkapan Vera, 24, dibuat hanya selepas lapan bulan dia menjalinkan hubungan seks dengan murid gred lapan itu.

Menurut laporan, Vera pada April memberitahu bahawa hubungannya dengan lelaki yang berusia 13 tahun itu bermula melalui mesej di Instagram – dan telah berkembang menjadi cinta.

Vera ditahan di penjara sementara di Montgomery County dengan ikat jamin USD$100,000 (RM410,000), lapor Associated Press.

Dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Daerah Harris memberi gambaran terperinci dari segi hubungan cinta mereka yang dikatakan bukan sahaja direstui tetapi dirai ibu bapa murid terbabit.

Pengetua sekolah itu, Elsa Wright, hanya menerima maklumat tentang Vera pada April lalu, dan aduan telah dibuat kepada jabatan polis sekolah berkenaan sebelum siasatan dimulakan.

Dokumen mahkamah juga menunjukkan Vera tidak menafikan hubungannya, malah mengakui perkara berkenaan di hadapan pengetuanya dan seorang anggota polis.

Vera turut mengakui mengadakan hubungan seks 'hampir setiap hari' dengan anak muridnya itu sehingga menyebabkan dia hamil.

Dia kemudian bertemu ibu bapa murid terbabit, dan mereka dilaporkan menerima berita (hamil) dan hubungan itu dengan hati terbuka.

Namun, pada Februari kandungan tersebut digugurkan kerana Vera mula disoal siasat oleh Badan Perlindungan Kanak-kanak.

Dalam soal siasat berasingan oleh polis, murid berkenaan turut mengakui menjalankan hubungan seks dengan gurunya itu.

Polis berkata, mereka menemui banyak mesej antara lelaki tersebut dan gurunya, sekaligus mengesahkan apa yang telah diceritakan Vera.

Pejabat Guam Bela Harris County memberitahu ABC News 13 bahawa ibu bapa murid berkenaan boleh didakwa atas kesalahan gagal melaporkan penderaan kanak-kanak jika sah mereka mengetahui mengenai hubungan tersebut.

Ibu murid terbabit kini sedang disiasat oleh Badan Perlindungan Kanak-kanak.


AstroAwani

No comments