Terkini

8 Gambar Pemandangan Menarik Rumah Terbalik Pertama Di KL

SAAT pemuda berusia 26 tahun itu menjejakkan kaki di Kuala Lumpur Upside Down House, Menara Kuala Lumpur (KL), wajahnya kelihatan sedikit keliru sebaik melihat reka bentuk dan fizikal rumah tersebut.

8 Gambar Pemandangan Menarik Rumah Terbalik Pertama Di KL

Masakan tidak, Izzat Azar Ahmad Tahir mendapati rumah dan sebuah kereta legenda Morris berwarna kuning yang tergantung di atas pintu masuk rumah itu berada dalam keadaan terbalik.

Begitupun, setelah menjejakkan kaki ke dalam rumah terbalik seluas 186 meter persegi itu, perasaan keliru yang membelenggu Izzat Azar beransur-ansur hilang.

“Bagaimana perasaan anda sekiranya berada di dalam sebuah rumah yang terbalik. Lantai di atas kepala, bumbung pula di kaki. Tentu pening dibuatnya.

“Selepas melangkah masuk ke dalam rumah ini, saya terpegun melihat keadaan sekeliling dengan ruang tamu berada di siling manakala di kaki hanyalah lantai,” katanya ketika di temu bual Kosmo! baru-baru ini.

8 Gambar Pemandangan Menarik Rumah Terbalik Pertama Di KL

Sesiapa yang melalui Jalan Puncak, Kuala Lumpur di Menara KL, sudah pasti tidak terlepas pandang akan keunikan sebuah rumah dengan reka bentuk rumah terbalik itu.

Tidak hairanlah, dia menjadi salah satu tarikan utama pelancong tempatan dan antarabangsa di Bukit Nenas, selain daripada Menara KL, Blue Coral Aquarium, Kampung Budaya 1Malaysia, zoo mini, restoran berputar Atmosphere 360 dan Sky Box.

Menurut pemuda yang berasal dari Gombak, Selangor itu, KL Upside Down House memberi pengalaman unik kepadanya kerana dapat melihat semua barang-barang di dalam rumah itu dalam keadaan tergantung di siling.

8 Gambar Pemandangan Menarik Rumah Terbalik Pertama Di KL

“Lebih menarik, saya boleh mengambil gambar tanpa halangan dan membuat rakaman video di mana-mana sahaja di dalam mahupun di luar rumah berkenaan,” ujarnya yang juga seorang peniaga makanan di Lembah Klang.

Tertinggi

Dalam pada itu, Penolong Khidmat Pelanggan KL Upside Down House, Nor Aini Rasidi berkata, rumah terbalik dua tingkat setinggi enam meter itu merupakan yang tertinggi pernah dibina di Malaysia.

8 Gambar Pemandangan Menarik Rumah Terbalik Pertama Di KL

“Rumah terbalik ini terbahagi kepada dua iaitu bahagian atas dan bawah. Bahagian atas, terdapat beberapa ruangan seperti ruang tamu, bilik tidur, bilik bayi, bilik kanak-kanak, bilik mandi, tandas, ruang makan dan dapur.

“Di bahagian bawah pula terdapat loteng dan bilik permainan kanak-kanak, sekali gus menarik ramai pengunjung untuk bergambar dalam pelbagai aksi,” katanya.

8 Gambar Pemandangan Menarik Rumah Terbalik Pertama Di KL

Jelas Nor Aini, pihaknya hanya membenarkan 15 hingga 18 orang pengunjung dalam satu-satu masa bagi memberi peluang kepada mereka menikmati pengalaman dan suasana di dalam rumah terbalik tersebut.

“Jika terlalu ramai orang di dalam rumah ini, keadaan tentu akan menjadi sesak dan pengunjung tidak dapat mengambil gambar yang diingini.

“Jadi, kami mengambil inisiatif untuk mengehadkan jumlah dan kumpulan pengunjung di dalam rumah terbalik ini,” ujarnya.

8 Gambar Pemandangan Menarik Rumah Terbalik Pertama Di KL

Tambah Aini, pihaknya ada menempatkan beberapa orang pembantu di dalam dan luar rumah bagi membantu dan memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat mengenai rumah terbalik berkenaan.

“Pihak kami sedang membuat promosi sehingga 4 Ogos ini iaitu bayaran masuk sebanyak RM15 (dewasa) dan RM10 (kanak-kanak) bagi pemegang Mykad sahaja.

“Para pengunjung juga dibenarkan bergambar dengan menggunakan telefon bimbit atau kamera sendiri tanpa sebarang caj tambahan,” katanya.

8 Gambar Pemandangan Menarik Rumah Terbalik Pertama Di KL

Langkah pihak KL Upside Down House untuk tidak mengenakan bayaran sampingan untuk membawa peralatan bergambar ke dalam rumah terbalik turut mendapat pujian salah seorang pengunjung, Ta Kah Chun.

Dekorasi

Menurut lelaki berusia 19 tahun itu, langkah tersebut sangat tepat kerana kebanyakan pengunjung rumah terbalik ingin mengambil gambar sebagai kenangan.

“Pengunjung boleh membawa kamera dan bergambar di dalam serta luar rumah terbalik secara percuma. Ia satu langkah yang baik kerana kebanyakan tempat tarikan lain mengenakan caj berasingan.

8 Gambar Pemandangan Menarik Rumah Terbalik Pertama Di KL

“Saya juga datang ke sini selepas tertarik melihat imej-imej menarik di KL Upside Down House dengan berlatarbelakangkan sebuah taman berkonsepkan Echanted Secret Garden itu yang dimuat naik ke dalam media sosial baru-baru ini,” katanya yang juga berasal dari Cheras, Kuala Lumpur.

Kah Chun memberitahu, dia begitu terpesona dengan dekorasi dan halaman di luar rumah terbalik kerana ia dipenuhi bunga-bungaan yang cantik dan segar, sekali gus menghidupkan suasana yang damai dan tenang.

Dalam pada itu, seorang pelancong Denmark, Casper Lundby Kelsall, 21, berkata, dia sangat teruja dan seronok kerana menjadi antara pelancong yang terawal melawat rumah terbalik itu.

Katanya, dia tidak mengetahui bahawa rumah terbalik berkenaan merupakan tarikan baharu yang diperkenalkan di Menara KL. Malah, ia baru sahaja dibuka kepada pada orang ramai pada 8 Jun yang lepas.

“Ia sangat menarik dan unik, saya cukup gembira kerana dapat melawat keseluruhan tempat ini, ujarnya.


- KosmoOnline






No comments