Terkini

"Ayah" Memang Melampau, Membuatkan Aku Rasa Tidak Tenteram Berada Di Rumah

Usaha untuk mendapatkan perhatian dan kepercayaan daripada remaja ini pada awalnya agak sukar. Renungan yang tajam, pendiam dan enggan membabitkan diri dengan pelbagai aktiviti yang diatur menyebabkan gadis ini memang payah untuk didekati.

"Ayah" Memang Melampau, Membuatkan Aku Rasa Tidak Tenteram Berada Di Rumah

Disebabkan pengalaman silam dia sukar untuk mempercayai orang lain termasuk ahli keluarganya.

“Ibu ada juga datang meminta saya tinggal dengan dia, tetapi hati masih berbelah bahagi memandangkan rasa kecewa dengan sikapnya sebelum ini yang hampir menjerumuskan saya ke kancah maksiat dan menggelapkan masa depan,” katanya tenang memulakan bicara.

Menurut Ani, dia berasal dari keluarga yang berpecah-belah. Ibu ayahnya telah bercerai dan kemudian masing-masing telah berkahwin lain serta mempunyai keluarga sendiri.

Ani dan adiknya memilih untuk tinggal bersama ibunya manakala ayahnya berpindah ke negeri lain bersama isteri baharu dan dua orang anak tirinya.

Setelah berkahwin, ibu Ani mempunyai seorang anak bersama suami baharu. Ani memberitahu, ayah tirinya itu berusia beberapa tahun lebih muda daripada ibunya, segak dan bekerja sebagai seorang kerani, berbanding ibunya yang memegang jawatan agak tinggi di sebuah syarikat.

Bagi Ani, perbezaan umur antara suami baru ibunya itu tidak sesekali menyebabkan dia kekok untuk memanggilnya ‘ayah’. Tambahan pula waktu itu umurnya pun baharu 12 tahun dan adiknya sembilan tahun, yang menganggap lelaki itu sebagai pengganti ayah.

Setelah dua tahun hidup bersama ibunya, Ani merasakan layanan ayah tirinya itu semakin berbeza. Dia merasakan seolah-olah ayahnya itu terlalu memberi tumpuan kepada dirinya.

Pada mulanya Ani merasakan gembira kerana dapat seorang ayah tiri yang begitu baik, amat menyayanginya umpama anak sendiri.

Ani yang baru menginjak ke usia remaja itu, yang memang dahagakan kasih sayang seorang ayah, sudah semakin sebati dengan layanan yang diberikan oleh ayah tirinya. Ibunya pun turut gembira kerana merasakan pilihannya tepat kerana memperoleh seorang suami yang baik dan penyayang.

Bukan sahaja Ani, malah adiknya juga diberikan kemanjaan yang sama oleh ayah tirinya. Entah bagaimana Ani mula terasa tidak sedap hati dengan perlakuan ayah tirinya itu apabila semakin lama dia merasakan lain benar tingkah laku lelaki itu.

“Pada waktu makan ayah tiri saya suka duduk di sebelah saya, apa yang ibu saya tidak tahu ialah ayah tiri saya suka meletakkan tangannya di atas paha saya apabila sedang makan. Saya cuba menolak tangannya, apabila melihat wajahnya, dia hanya tersenyum sinis.

“Lagi satu dia akan cuba memeluk saya dari belakang apabila saya berada di dapur sedang membasuh pinggan. Mula-mula saya anggap dia hanya cuba bergurau, tetapi lama-kelamaan saya rasakan dia tidak wajar berbuat begitu, kerana setahu saya, ayah saya pun tidak buat begitu kepada saya.

“Kadang-kadang saya melihat dari sudut mata lelaki yang nakal itu menjelajah ke seluruh tubuh saya dengan matanya. Senyumannya yang sinis sentiasa mengekori apa sahaja yang saya lakukan, sehinggakan saya merasakan adalah lebih baik saya berhati-hati dengan sikapnya.

“Dahulu saya kecil lagi, mungkin merasakan pelukan dan ciuman itu berasaskan kasih sayang, tetapi sekarang saya sudah remaja dan sudah pasti tahu batas-batas sebagai seorang anak dan ayah, tambahan pula dia cuma ayah tiri,” jelas Ani.

Kata Ani, dia seringkali memberitahu ibunya berkenaan perangai ayah tiri yang dianggap agak keterlaluan apabila ‘bermanja’ dengannya. Namun, perkara itu ditolak mentah-mentah oleh ibunya dengan mengatakan lelaki itu bersikap begitu kerana dia seorang yang penyayang.

“Memang saya rasa tidak tenteram apabila berada di rumah. Rasa tidak selamat. Satu hari, ayah tiri menjemput saya dan adik dari sekolah. Apabila sampai ke rumah, adik saya turun dahulu, manakala saya yang duduk di bahagian sebelah penumpang dipegang oleh ayah tiri saya.

“Dia mencuba mencium pipi. Saya meronta-ronta cuba mengelak dan berjaya melepaskan diri dan keluar dari kereta, terus masuk ke rumah dan menutup pintu bilik. Saya terasa amat takut dan sampai ke malam saya tidak keluar bilik.

“Ibu kemudian datang ke bilik dan bertanyakan sama ada saya sakit kerana tidak keluar makan malam. Saya menceritakan kepada ibu apa yang cuba dilakukan oleh ayah tiri, tetapi ibu hanya tergelak dan mengatakan ayah tiri saya itu hanya cuba untuk melahirkan rasa kasih dan sayangnya sahaja kerana dia sebelum ini tidak mempunyai anak atau adik kecil.

“Saya rasa marah dengan sikap ibu yang sedikit pun tidak mempercayai aduan saya. Hendak dijadikan cerita, satu malam, saya sedang tidur, apabila saya menyedari kelibat seorang lelaki memasuki bilik dan kemudian duduk di tepi katil.

“Dalam cahaya yang samar, saya dapat melihat, lelaki itu ialah ayah tiri dan dia cuba menekup mulut saya. Saya meronta-ronta di atas katil dan kemudian dengan kudrat yang ada saya menggigit tangan lelaki itu.

“Saya bingkas bangun dan kemudian berlari keluar bilik sambil menjerit. Di pertengahan laluan, saya terserempak dengan ibu yang bertanya kepada saya kenapa saya menjerit.

“Saya memberitahu yang ayah tiri saya masuk ke dalam bilik dan cuba melakukan sesuatu yang tidak elok kepada saya. Antara percaya dengan tidak, ibu hanya menyuruh saya masuk ke bilik dan tidur, tanpa ada apa-apa tindakan,” katanya.

Ani, yang baru dua minggu berada di rumah perlindungan itu, berkongsi pengalaman mengejutkan itu dengan rakan baiknya di sekolah.

Ibu rakan baiknya itu kebetulan pengurus rumah perlindungan berkenaan dan dia yang memberi idea agar Ani mendapatkan bantuan.

Atas persetujuan Ani, biarpun ibunya tidak mengizinkan, remaja itu tetap mahu menumpang di rumah perlindungan berkenaan.

“Saya tidak kisah berapa lama asalkan rasa tenang dan selamat. Apa yang saya gusarkan ialah nasib adik yang tinggal bersama ibu, Dia masih kecil.

“Saya kesal dengan sikap ibu yang enggan mempercayai apa yang terjadi kepada saya, malah disebabkan terlalu cintakan suami sanggup mempercayai bulat-bulat apa yang dikatakan lelaki itu. Saya mengakui memang saya seorang yang degil dan selalu berpeleseran dengan rakan-rakan remaja yang lain.

“Saya masih remaja dan adakalanya sikap saya pun terpengaruh seperti sikap nakal remaja-remaja lain, tetapi tidaklah sampai hendak merenggut mahkota dan maruah diri saya.

“Apabila saya berada di sini dia menyalahkan saya pula yang kononnya akan memalukan dirinya dan tidak langsung hiraukan perasaan dan kejadian yang saya alami.

“Dia menyifatkan saya cuba melarikan diri dari rumah kerana enggan belajar dan tidak mahu mendengar leterannya setiap hari,” katanya.

No comments