Terkini

Laman Kurma Ajwah di Masjid Ar-Rahmaniah, Felda Lasah

SUNGAI SIPUT (U) - Masjid Ar-Rahmaniah di Felda Lasah, di sini mencipta sejarah tersendiri apabila melancarkan Laman Kurma Ajwah di masjid tersebut.

Laman Kurma Ajwah di Masjid Ar-Rahmaniah, Felda Lasah
Pelancarannya disempurnakan oleh Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim

Pelancarannya disempurnakan oleh Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim ketika beliau berkunjung ke masjid itu baru-baru ini.

Setiausahanya, Ahmad Shaari Abdul Kadir berkata, Laman Kurma Nabi pertama di Malaysia itu diwujudkan untuk menyemai budaya bercucuk tanam dan mempopularkan tanaman yang sinonim dengan umat Islam berkenaan.

Menurutnya, idea mewujudkan laman kurma tersebut dicetuskan oleh NGO, Kami Anak Felda (KAF) cawangan Felda Lasah.

"Idea tersebut mendapat sambutan baik daripada semua ahli kariah dan mereka teruja dengan projek terbaharu itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Forum Perdana di Masjid Ar-Rahmaniah di Felda Lasah, di sini.

Menurutnya, pembelian pohon kurma itu dibiayai sepenuhnya oleh ahli kariah dan KAF secara wakaf.

"Mereka gembira dengan perkembangan ini dan sedia untuk membantu seadanya. Malah, ramai warga asal Felda Lasah yang bermastautin di luar menyumbangkan wang dan pohon kurma untuk ditanam di masjid ini.

“Laman kurma khas menempatkan spesies kurma nabi (ajwah) ini merupakan yang pertama di dalam negara ini,” katanya.

Ahmad Shaari berkata, beliau yakin keindahan pohon kurma itu akan menjadikan ia tarikan pelancongan terbaru di Felda Lasah.

Katanya, 27 pokok yang ditanam di situ akan menghasilkan pemandangan indah yang mungkin tidak terdapat di tempat lain dalam dua atau tiga tahun akan datang.

Beliau berkata, teknologi terkini membolehkan pokok kurma ditanam dalam negara ini.

“Seperti di Kelantan, ia menjadi satu tarikan pelancongan yang popular.

“Tidak mustahil Felda Lasah juga boleh menjadi sebegitu kerana kita menanam pokok kurma dengan jumlah agak banyak berbanding di kawasan lain," katanya.


No comments