Terkini

Bila Check Phone, Aku Terkejut Dan Baru Tahu Perangai Suami

Sudah lama saya ingin menyuarakan masalah rumah tangga yang saya lalui ini. Tetapi saya belum diberikan kekuatan untuk berterus terang selain malu dengan situasi yang saya hadapi.

Bila Check Phone, Isteri Terkejut Dan Baru Tahu Perangai Suami
Gambar Hiasan

Dahulunya saya pernah bekerja di pentas peragaan. Di pentas itulah juga saya bertemu suami yang selalu menyaksikan persembahan saya. Kata orang, kalau jodoh tak ke mana. Raut wajah suami yang tampan antara sebab saya terpikat kepadanya.

Semasa berkenalan, ramai teman menasihati agar saya berhati-hati kerana bimbang saya akan kecewa. Tetapi saya ikutkan hati muda kerana saya tahu kawan-kawan terasa tercabar kerana ada lelaki tampan mahukan saya. Semasa berkawan juga, saya sudah berani mengikut dia balik ke rumah. Hubungan kami agak bebas ketika itu. Saya langsung tidak memikirkan buruk baiknya kerana terlalu mengikutkan darah muda.

Hampir setahun bersama, akhirnya saya mendesak agar kami berkahwin. Kami kemudian disatukan dalam majlis penuh kemeriahan. Setahun berumah tangga, saya disahkan hamil. Ia berita gembira bagi saya. Saya tahu suami akan lebih terikat dengan adanya anak kami kelak. Saya melahirkan anak perempuan yang kini sudah pun berusia lima tahun.

Perjalanan rumah tangga saya, kalau diceritakan penuh berliku. Saya tidak tahan dengan sikap suami yang kasanova. Dari awal perkahwinan lagi, dia sudah memberitahu hujung minggu adalah hari untuknya dan saya tidak berhak masuk campur. Saya akur dengan katanya kerana tak suka bergaduh.

Bulan demi bulan, tahun bertukar tahun, saya tahu saya tidak boleh terus berpura-pura dengan sebuah perkahwinan yang tampak baik di mata orang tetapi derita di hati saya. Apatah lagi selepas Allah mencampakkan hidayah Nya ke atas saya selepas satu insiden rumah kami di pecah masuk.

Nyawa saya kala itu bagaikan di hujung tanduk kerana diacukan parang. Nasib baiklah tangisan anak membuatkan penyamun keluar selepas mendapat apa dihajatinya. Suami ketika itu tiada di rumah kerana keluar bersama kawan-kawannya. Saya berfikir, Allah memberikan saya peluang untuk berubah dan saya menyahutnya dengan berlapang dada.

Tetapi konflik saya dan suami semakin meruncing kerana saya tidak dapat menerima cara suami menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan bapa. Suami jarang solat. Sudah ditegur dengan cara baik, lemah lembut, doa dan bising-bising, semuanya tidak pernah diendahkan. Dia langsung tidak berubah. Malas bersolat malah saya rasa kehidupan suami jauh menyimpang daripada landasan.


Kalau dulu hujung minggu, sekarang boleh dikatakan hari-hari. Memang dia bekerja sendiri mengusahakan perniagaan tetapi masanya sentiasa tiada di rumah. Pernah sekali saya mengikutnya ke pertemuan bersama kawan-kawan. Kata kawannya, kenapa saya dikurung di rumah sedangkan saya begitu cantik sekalipun sudah melahirkan anak. Kata-kata kawannya itu disambut dengan cebikan suami.

Saya terkeliru dengan sikap dan caranya. Saya mengajaknya secara berlembut untuk berubah menjadi lebih baik tetapi katanya, dia belum bersedia.

Baru-baru ini, air mata saya tumpah lagi. Seorang wanita menghubungi saya. Bila saya tanya kenapa, katanya dia mengenali suami saya luar dan dalam. Saya terperanjat. Apa yang dimaksudkan luar dalam? Adakah suami saya sudah bersamanya?

Saya mengambil keputusan bertemu wanita itu. Dia mengakui hubungannya dan suami saya ibarat suami isteri. Dia juga sempat mencuri-curi gambar suami dengan wanita lain. Menurutnya, dia tidak kisah dengan maruah kerana dia hanya mahukan duit suami. Dia cuma kasihan pada saya sebab itu dia memberitahu hal sebenar agar saya tidak terus tertipu dengan permainan suami.

Demi Allah, saya terduduk mendengarkan pengakuannya. Suami yang saya percaya sebagai pelindung akhirnya membuat saya begitu. Walau pun permulaan kehidupan dahulu saya juga pernah melakukan dosa tetapi saya sudah taubat nasuha. Saya sungguh menyesal dan tidak pernah mengulangi lagi kesilapan.

Tanpa suami sedari, saya curi-curi membuka telefonnya. Ya Tuhan, terlalu banyak gambar mengaibkan. Kami bergaduh dan suami menampar saya kerana memeriksa telefon bimbitnya. Saya merasakan itu hak saya sebagai isteri.

Saya tidak tahu apa yang suami cara dalam kehidupannya. Apa cara terbaik menangani sikap suami yang gemar 'makan luar'? Adakah perlu saya meminta cerai darinya kerana saya tidak mahu terus dalam keadaan begini. Apa harus saya lakukan?

Kiriman: Hamba Allah

No comments