Terkini

Tun Mahathir, Barisan Pembangkang Tubuh Parti Baru Sedia Hadapi PRU14

PETALING JAYA: Parti baharu yang akan ditubuhkan tidak lama lagi akan membentuk pakatan besar bersama parti pembangkang lain bukan untuk memperjuangkan matlamat peribadi.

Tun Mahathir, Barisan Pembangkang Tubuh Parti Baru Sedia Hadapi PRU14

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bekas pemimpin Umno dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sedar mereka perlu bekerjasama untuk menjatuhkan BN.

Menurutnya, terpulang kepada pemimpin PH untuk menentukan jika mereka mahu menjadi subpakatan atau parti komponen berasingan.

Jelasnya, mereka sepakat akan hanya menurunkan seorang calon pada mana-mana pilihan raya, selain akan mengetepikan perbezaan masing-masing dan menumpukan perhatian untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kami juga bersetuju dengan cadangan pelaksanaan gencatan serangan antara satu sama lain,” katanya selepas mengadakan mesyuarat selama tiga jam dengan pemimpin pembangkang dan NGO di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Ditanya jika gencatan serangan itu termasuk PAS, Dr Mahathir merujuk kepada saranan Timbalan Presiden parti Islam itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam.

“Saya tidak tahu apa pendirian PAS tetapi Tuan Ibrahim nampaknya mempertimbangkan dirinya sebagai (parti) pembangkang, jadi kami berharap mereka tidak menentang kami.

“(Jika mereka tidak menentang kami) kami tidak akan serang mereka,” katanya.

Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan semalam menyeru semua parti pembangkang supaya berdamai dan menghalakan senjata ke arah Umno-BN.

Beliau juga yakin pembangkang boleh mencari titik pertemuan untuk berkompromi.

Terdahulu, Dr Mahathir mengesahkan sebuah parti baharu yang turut dipersetujui parti pembangkang akan ditubuhkan tidak lama lagi dan ia akan menjadi sebahagian daripada gerakan Selamatkan Malaysia.


Selain beliau, tiga individu turut menunjukkan minat terharap pembentukan parti baharu itu termasuk bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas naib presiden, Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. - FMT

No comments