Terkini

Intipan Yang Membawa Padah Apabila Suami Berang Dengan Tindakan Aku, Akibatnya..

“ANDA tergolong wanita yang bertuah jika suami anda bukan kaki perempuan, tidak bercakap bohong dan bertanggungjawab kepada anak-anak dan isteri.

Intipan Yang Membawa Padah Apabila Suami Berang Dengan Tindakan Aku, Akibatnya..

Kalau sesekali dia suka keluar makan dengan rakan-rakan sekerja, anda lepaskanlah kerana dia masih sayangkan anda dan anak-anak. Tetapi jika dia berubah lebih sayangkan kawan daripada keluarga, anda mesti berhati-hati. Sebab jika tidak ditegah dari awal, sikap seperti itu boleh hancurkan rumahtangga anda.

“Saya bercakap dari pengalaman, dulu ketika ada dua orang anak, suami saya punyalah baik, setia dan amat bertanggungjawab, tetapi setelah dapat kawan yang agak ‘mereng’ otaknya, suami saya Ezzwan bertukar 360 darjah, dia terikut-ikut dengan perangai kawannya. Pada dia kawan yang terbaik, sedangkan isteri cuma perhiasan rumah.’’ Itu cerita Maryati dalam e-melnya.

“Oleh kerana awalnya dia baik, saya kurang bertanya ke mana dia pergi dan dengan siapa. Sebab dia jujur. Apa berlaku di luar dia akan beritahu saya Tetapi setelah kawan lebih penting daripada anak isteri saya mula risau Bila saya tanya dia mula meninggi suara dan tuduh saya sekat pergerakannya dan jadi queen control.

“Saya katakan kalau berubah jadi orang masjid atau surau saya tak larang, tetapi jadi kaki rambu ramba, setiap minggu tentu tak baik. Mulanya saya fikir kawan cuma lelaki, tetapi entah masa bila tetiba ada pulak kawan perempuan.

“Awalnya memang saya tak tahu, tetapi kawan dia sendiri bongkar rahsia. Malangnya bila tanya, Ezzwan tak penah mengaku, mula tuduh saya kaki cemburu, suka serkap jarang, suka dengar cerita orang untuk memburukkan maruah suami.

“Apa yang pelik salah seorang kawan Ezz bagi tahu saya nama teman wanita Ezz, dan di mana mereka suka lepak. Hairan juga, kenapa kawannya bersungguh-sungguh membongkar rahsia Ezz. Adakah mereka sudah bergaduh atau ada masalah lain.

“Kerana ketika itu perasaan ingin tahu info yang diberi, saya pergi ke tempat yang diberitahu. Sah, mereka sedang berdua-duaan dalam bilik hotel bajet. Ezz, cuma pakai tuala saja bila pintu yang saya ketuk dibuka. Jelas mereka sedang berasmara dana. Ezz terkejut. Dia memang marah, tapi dia tarik tangan saya masuk bilik, dan terus terang tanya apa saya mahu, dia boleh ceraikan saya ketika itu juga. Katanya kalau saya nak report silakan, pada siapa pun dia tak takut sebab mereka memang nak kahwin.

“Oleh kerana terkejut dan marah, saya mengamuk dan menangis. Hasilnya ketika itu juga saya diceraikan. Seminggu selepas peristiwa itu, Ezz balik ambil pakaian dan serahkan surat cerai. Mudah sungguh . Keputusannya muktamad. Menangis air mata darah pun saya sudah bergelar ibu tunggal. Takdir sudah tidak boleh diubah lagi, sudah ketentuan Allah jua.

“Berbulan saya menangis mengenangkan nasib, tak sangka saya boleh diceraikan dalam sekejap masa. Emak datang duduk sebulan di rumah tenangkan hati saya. Kata emak, kuasa cerai di tangan lelaki kalau dia dah tak suka jangan merayu. Pandai-pandailah bawa diri, jaga anak-anak mungkin ada baiknya kemudian hari. Tetapi saya tak boleh sabar, saya merayu Ezz, minta dia pulang dan fikirkan anak-anak. Keputusan Ezz muktamad dan mereka akan berkahwin sebab wanita itu takut rahsia terbongkar, kerana saya terjumpa mereka berdua-duaan dalam bilik hotel.

“Lebih setahun saya hidup merana, anak-anak terbiar, nasib kakak saya yang belum berkahwin mahu datang membantu tinggal bersama di rumah sewa saya. Ketika itu Ezz sudah pun berkahwin. Tetapi Allah Maha Besar, Allah Maha Kaya, pepatah orang tua-tua ada berkata, `bangkai gajah tak boleh ditutup dengan nyiru.” Tanpa disangka, keburukan terserlah juga.

“Saya dapat cerita isteri Ezz itu sebenarnya bekas kekasih kawan baik Ezz sendiri. Oleh kerana kawan Ezz tak berani nak ambil wanita itu jadi isteri, setelah sekian lama mereka bercinta, kerana takutkan isterinya. Maka dia kenalkan kekasihnya kepada Ezz. Dan Ezz terus jatuh cinta dengan wanita itu dan kemudiannya Ezz ceraikan saya. Kawan Ezz beritahu hubungan Ezz dengan wanita itu sebab dia nak lepaskan diri kerana dia mahu kahwin dengan wanita itu. Nak tinggalkan wanita itu dia kesian akhirnya kenalkan pada Ezz.

“Bila cerita dan kebenaran itu tersebar, ia seolah-olah jadi perangsang kepada saya untuk memperbaiki diri saya demi masa depan anak-anak. Saya langsung tak ada minat nak rayu Ezz semula. Saya macam orang baru bangkit sakit, saya tidak mahu menangis dan merayu Ezz lagi. Untuk melegakan fikiran setelah berbincang dengan emak, saya buat keputusan minta bertukar kerja kembali ke negeri saya walaupun jauh, tetapi memudahkan emak datang melawat saya dan anak-anak. Kawasannya tak sibuk seperti KL, tetapi aman damai.

“Mungkin kawan dan bos di pejabat bersimpati dengan masalah saya, permohonan bertukar kerja segera diluluskan. Tak sampai enam bulan saya bertukar ke negeri saya. Sukanya hati hanya Allah yang tahu. Saya harap di tempat baru ini keadaan saya jadi lebih baik dan hidup anak-anak lebih terkawal demi masa depan mereka.

Perhatian

“Di tempat baru, suasana baru, saya bersemangat untuk memperbaiki diri. Memang tenang, ramai kawan. Di tempat baru ini saya mula berkawan dengan ramai teman khususnya wanita. Berbanding semasa berkahwin dahulu, hidup saya banyak terikat dengan Ezz. Saya tak ada kawan kerana Ezz tak suka.
“Tetapi setelah berpindah di tempat baru ini saya bebas berjalan ke mana suka ikut kawan-kawan. Kalau musim buah, memang kenyang anak-anak saya. Maklumlah musim buah ada kalanya berbuah tak sekata, ada kalanya musim buah menjadi di kampung saya tidak di kampung kawan saya dan begitulah sebaliknya.

“Anak-anak juga saya bawa ke majlis-majlis seperti hari keluarga, sukan sekolah, majlis kenduri kahwin atau tahlil di rumah kawan. Semuanya saya ikut serta bersama anak-anak.

“Tujuan saya untuk tenangkan fikiran, kedua, saya mahu ramai kawan, ketiga saya mahu anak-anak gembira di tempat baru dan ada ramai kawan selain kawan sekolah dan saudara mara. Memang mereka seronok. Tetapi tanpa saya duga saya menjadi perhatian beberapa orang lelaki lebih tepat suami orang ada yang satu pejabat dan satu bangunan.

“Peristiwa ini berlaku selepas setahun saya berpindah ke daerah ini. Ia bermula bila satu hari kawan saya nama Mizz nasihatkan saya supaya berhati hati dengan En. Sy. Katanya En. Sy suami orang, suka menggoda wanita tak kira anak gadia, isteri orang apatah lagi ibu tunggal. Dia memang baik, mulut manis, tetapi dia tak pernah serius, dia cuma suka-suka lebih teruk lagi nampak luar saja gagah, tetapi di rumah takut bini. Pernah isterinya datang serang seorang gadis yang selalu tumpang keretanya bila balik kerja. Akhirnya gadis itu tepaksa ditukarkan ke tempat lain. Jadi dia tak mahu saya jadi seperti itu.

“Terus terang saya beritahu Mizz saya tak berminat suami orang, kalau nak kahwin lagi pun dengan bekas suami saya Ezz. Tetapi itu dulu, sekarang pintu hati saya tertutup rapat, sebab saya memang tak boleh percayakan dia lagi. Memang tak saya nafikan En. Sy kalau bercakap memang lembut gigi dari lidah, bab memuji nombor satu, tetapi saya tak layan. Saya jadi serius selepas tahu perangainya. Dan saya berjaya jauhkan dirinya daripada saya. Selamat. Tetapi seorang lagi lelaki En. Hairol dia nasihatkan saya supaya kahwin lagi, tak baik menjanda selamanya. Anak-anak perlukan ayah, terutama anak lelaki sementara anak perempuan perlukan perlindungan.

“Kerana dia berterus terang saya pun jadi lebih serius. Saya katakan hidup saya lebih selamat dan tenang tanpa suami. Saya tak mahu diserang kerana rebut suami orang. Nak kahwin dengan orang bujang, siapalah yang mahukan janda anak tiga, menyusahkan hidup mereka sahaja. Dan saya boleh berdikari dan boleh tanggung anak-anak sendiri.

“En. Hairol tuduh saya bongkak dan sombong, dan dia mula bersyarah dari segi agama kepada manusia sombong seperti saya. Dan dia takutkan saya bahawa Allah akan uji saya beri saya suami seorang lelaki yang saya benci. Perbincangan saya terhenti bila Mizz masuk campur mempertahankan hak saya.

“Sebenarnya En. Hairol bukan mahu goda saya, tetapi untuk menguji kekuatan semangat dan iman saya sebab dia jadi orang tengah kepada kawannya En. Fakri yang baru setahun bercerai. Dia ada anak empat orang sudah remaja dan isterinya seorang peniaga pakaian dan tudung di sebuah kedai di tempat kami.

“Satu hari tanpa diduga saya dapat panggilan telefon dari seorang wanita mendakwa isteri En. Fakri, nasihatnya saya jangan cuba goda suaminya. Katanya lagi jika Fakri tak bagi cukup nafkah anak-anak dia akan serang saya. Terkejut beruk saya. Bila pula saya goda suami dia dan apa kena mengena suaminya tak bagi nafkah saya akan diserang. Berlagak betul.

“Saya cuba bertanya, tetapi dia tak mahu dengar, sebaliknya beri amaran. Dan dia akan malukan saya di luar pejabat bila balik nanti. Ketika itu perasaan saya marah bercampur geram. Kerana saya tak kenal En. Fakri. Saya mita Mizz jumpa Fakri dan ceritakan apa yang terjadi. Fakri beritahu dia duda dan sudah lebih setahun mereka bercerai. Pelik!

“Tetapi tak tahulah apa yang berlaku sejak peristiwa itu wanita tersebut tak ganggu saya lagi. Namun saya tetap berhati-hati. Nampak gayanya ketenangan yang saya nikmati telah tergugat. Apakah ini dugaan dan nasib ibu tunggal? Rupanya kelembutan saya membuat saya dipermainkan. Selepas itu saya mesti tunjukkan ketegasan dan kegarangan saya supaya saya tidak diganggu. Kerana saya memang tidak berhajat berkahwin lagi.’’
Itu cerita Maryati tentang pengalamannya setelah jadi ibu tunggal. Namun itu tidak membuat dia terpaksa berkahwin lagi. Katanya, jadi ibu tunggal lebih banyak baiknya daripada bermadu.

UtusanOnline

No comments