Terkini

"Fin" SiPembunuh Kongsi Gelap

KUALA LUMPUR - 'Fin', itu gelaran anggota kongsi gelap yang sanggup melakukan apa sahaja untuk geng mereka, termasuk membunuh.

"Fin" SiPembunuh Kongsi Gelap
Gambar Hiasan

Bekas anggota sebuah geng di ibu kota, yang mahu dikenali sebagai 'Dino' berkata mereka yang digelar 'Fin' ini, akan bertindak lebih ganas dan tidak mempunyai belas kasihan terhadap sesiapa pun yang disasarkannya.

"'Fin' bererti penyudah atau pengakhiran dalam Latin dan itulah maksud mereka terhadap mangsa.

"Mereka ini dianggap seperti komando yang berani mati dalam menjalankan setiap arahan atau tugasan yang diterima," katanya.

Menurut lelaki berusia 32 tahun itu, boleh dikatakan semua kumpulan kongsi gelap mempunyai pembunuh mereka sendiri.

Dia percaya pembunuhan seorang lelaki yang dikata ketua geng 'Satu Hati' di Setapak Rabu lalu adalah perbuatan Fin.

"Memang tugas Fin menakutkan kumpulan lain yang mungkin mahu menceroboh kawasan geng mereka," kata Dino.

Katanya, kawasan ditakluk geng dikenali sebagai 'port'. Kumpulan berkenaan mengutip wang pelindungan serta menjalankan pelbagai aktiviti haram di kawasan itu.

"Peperangan" berlaku ketika satu geng cuba merampas port kumpulan yang lain, tambah Dino, yang sekarang bekerja sebagai 'bouncer' di kelab malam.

"Pergaduhan berlaku hampir setiap minggu. Biasanya jika bergaduh, hanya senjata tajam digunakan...tetapi sejak kebelakangan ini banyak kumpulan telah memiliki senjata api kerana harganya murah dan ia mudah didapati ", katanya.

"Kebanyakkan mereka mendapatkan senjata api ini dari Thailand yang diseludup melalui 'jalan tikus' dengan harga antara RM1,000 dan RM20,000 bergantung kepada jenis senjata," katanya. - Bernama



No comments