Terkini

Gadis Nyaris DiCulik DiUmpan Dengan Coklat

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun trauma selepas mendakwa nyaris diculik dua lelaki yang menaiki sebuah van di kawasan letak kereta bangunan Wisma Persekutuan di Anak Bukit, di sini pada Isnin.

Gadis Nyaris DiCulik DiUmpan Dengan Coklat

Ibu mangsa, Nor Asilawani Mohd Sehut, 43, berkata kejadian pada pukul 7.27 pagi itu berlaku sewaktu anaknya sedang menunggunya di luar kereta ketika beliau pergi mengetik kad perakam waktu di pejabatnya.

Beliau berkata menjadi rutin hariannya datang ke pejabat terlebih dahulu sebelum menghantar anaknya ke sekolah berdekatan.

"Selepas saya selesai mengetik kad perakam waktu, saya terkejut melihat anak saya berlari ke arah saya dalam keadaan takut dan seperti dikejar seseorang," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Menurut Nor Asilawani, anaknya memberitahu ada dua lelaki yang menaiki van berwarna hitam cuba menculiknya.

Katanya beliau kemudian membuat laporan di Balai Polis Anak Bukit pada pukul 9.19 pagi semalam.

Sementara itu, kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Zara berkata pemandu van tersebut menanyakan nama dan memanggilnya untuk memberikan coklat.

"Tetapi saya tidak ambil kerana ibu pesan jangan ambil makanan daripada orang yang tidak dikenali," katanya sambil menambah lelaki berkenaan bercakap dalam loghat Kedah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

"Berdasarkan fakta kes, kita dapati tiada unsur culik atau melarikan orang kerana ia cuma tanggapan pengadu yang merasakan dia hampir diculik," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, katanya polis akan meningkatkan rondaan di kawasan tersebut bagi mengelak sebarang kejadian jenayah.


MstarOnline

No comments