Terkini

Kanak-kanak DiDera Hingga Mati Oleh Kakak Sendiri

KUALA TERENGGANU – Kesan terbakar dan koyakan pada kulit kepala hingga menampakkan tulang tengkorak ditemukan pada kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang meninggal dunia, dipercayai didera Isnin lalu.

Kanak-kanak DiDera Hingga Mati Oleh Kakak Sendiri

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata hasil bedah siasat ke atas Nudzirah Nur Safiah Sabarudin, mendapati kesan terbakar itu dijumpai pada bahagian kaki kiri mangsa hingga menyebabkan terdedahnya otot-otot serta kesan koyak juga terdapat di sebelah kiri kepala.

“Hasil pemeriksaan terdapat pelbagai luka baru dan lama pada seluruh badan mangsa termasuk luka dan lebam di bahagian muka, kepala dan kaki.

“Selain itu kesan koyakan di kedua-dua telinga dan bibir, lebam di bahagian belakang serta kesan luka terbakar tahap tiga…seluruh badan mangsa juga terdapat kesan parut lama,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.


Tambahnya kematian Nudzirah Nur Safiah, anak bongsu daripada lapan beradik itu juga dipercayai berpunca daripada jangkitan kuman berikutan kecederaan berganda pada badan mangsa.

Isnin lalu kanak-kanak itu meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh anggota keluarganya di kediaman mereka di Paka, Dungun dan meninggal dunia beberapa jam selepas kakak dan abang iparnya membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Paka pada 3 petang.

Katanya, kanak-kanak tersebut tinggal bersama kakak dan abang iparnya itu kerana ibu dan bapanya bekerja di Kuala Lumpur.


Kedua-duanya telah ditahan polis untuk siasatan lanjut dan Wan Abd Aziz berkata menerusi bedah siasat, didapati kesemua kecederaan pada badan mangsa mungkin tidak menyebabkan kematian.

“Namun kerana kecederaan itu tidak dirawat dan kuman telah merebak di seluruh badan, telah menyebabkan kematian mangsa. Siasatan lanjut masih diteruskan dan turut tertumpu kepada punca pelbagai kecederaan kesan luka dan lebam yang wujud seluruh badan mangsa serta kenapa mangsa tidak dihantar ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya. – BERNAMA


No comments