Terkini

Lahir Tanpa Rahang, Lelangit Berlubang, Anak Kecil Ini Perlukan Sumbangan Anda

Kuala Krai: Seorang bayi perempuan berusia setahun yang dilahirkan tanpa rahang, lelangit berlubang serta cacat pada wajahnya memerlukan sumbangan orang ramai untuk membolehkannya menjalani pembedahan segera.

Lahir Tanpa Rahang, Lelangit Berlubang, Anak Kecil Ini Perlukan Sumbangan Anda

Amni Umairah Basri menghidap masalah Treacher Collins Syndrome yang menghalang pembentukan tengkorak, pipi dan tulang rahang normal turut menyebabkan dia sukar bernafas, memerlukan kos lebih RM50,000 untuk pembedahan.

Ibunya, Azlina Arshad, 39, berkata, dia tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu buat anak bongsu daripada tujuh beradik disebabkan pendapatan keluarga yang bergantung sepenuhnya kepada suami, Basri Ibrahim, 52.

Katanya, Basri hanya bekerja sendiri dengan pendapatan sekitar RM700 sebulan menyebabkan mereka sukar menyimpan untuk pembedahan anak mereka.

“Sangat sukar untuk mengumpulkan wang memandangkan kami masih ada lima anak yang bersekolah rendah dan menengah.

“Tambahan pula kos pembedahan yang diperlukan itu tidak termasuk kos sampingan lain seperti penginapan, makan minum dan bayaran lain.

“Disebabkan itu, urusan rawatannya asyik tertangguh saja,” katanya yang tinggal di kawasan penempatan mangsa banjir di Kem Sungai Durian, di sini.

Dia mengakui mereka menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan yang digunakan sepenuhnya untuk membeli susu khas Amni Umairah.

Bercerita lanjut mengenai kesengsaraan anak bongsunya, Azlina berkata, Amni Umairah dilahirkan dengan bukaan mulut terhad hingga sukar bernafas sendiri dan pembedahan segera perlu dibuat untuk membetulkan keadaan itu.

“Pembedahan ini membabitkan pembukaan saluran pernafasan bagi memudahkan pernafasan dan kini dia bernafas menerusi tiub yang sentiasa dipasang pada leher.

“Bagaimanapun, mulut Amni sentiasa berair dan mudah berkahak, perlu dibersihkan setiap hari menggunakan mesin khas.

“Jadi dalam pembedahan kali ini, doktor mahu membina semula sendi rahang bawah Amni dengan tulang rusuk supaya dia tidak perlu menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Malangnya, kos tinggi membantutkan perkara itu,” katanya yang sedih melihat penderitaan Amni Umairah.

Menurutnya, Amni Umairah masih tidak dapat merasa makanan pepejal disebabkan keadaannya dan bergantung kepada susu khas yang diberikan setiap tiga jam.

“Pernah dia masukkan kertas ke dalam mulutnya dan kertas itu melekat di ruang dalam hidung sehingga terpaksa dibedah untuk mengeluarkannya,” katanya yang reda dengan keadaan anaknya.


Mymetro

No comments