Terkini

Harga Durian Makin Mahal, Apakah Sebabnya?

SEBUT sahaja durian, pastinya penggemar kecur liur memandangkan raja buah ini mempunyai rasa dan bau yang memikat hati. Walaupun di luar musim, penjualan buah itu tetap ada dan harganya juga meningkat sehingga mencecah ratusan ringgit sekilo, namun masih mendapat permintaan ramai.

Harga Durian Makin Mahal, Apakah Sebabnya?

Menurut peniaga durian yang mahu dikenali sebagai Man, harga durian ditentukan oleh pembekal durian yang berpusat di ibu kota.

“Harga durian bermula dengan pemborong durian di kebun dan kami akan mengikut harga tersebut. Bukan kami yang menentukan harga durian sebaliknya pembekal dan pemborong individu bertanggungjawab dalam hal ini,” katanya.

Di sebalik harga durian yang semakin mahal, dia berpendapat bahawa permintaan yang semakin tinggi menjadi faktor utama kenaikan harga durian.

Man berkata, sebelum ini pasaran durian terhad dalam negara sahaja. Namun kebelakangan ini, pasaran durian semakin berkembang ke luar negara seperti Singapura dan China.

“Pekebun mengambil kesempatan ini dengan mengimport durian ke luar apatah lagi penawaran harga lebih tinggi dari sana. Bermula dari situ, harga durian untuk pasaran tempatan juga lebih mahal berbanding sebelum ini.

“Biarpun pelanggan mengadu harga sangat tinggi, namun golongan peniaga tidak dapat berbuat apa-apa tindakan kerana segala keputusan mengenai harga ditentukan pembekal durian,” katanya.

Setelah 16 tahun menjual durian di Sri Muda, dia bukan sahaja menjual durian kampung bahkan durian kacuk yang mendapat permintaan ramai.

Jenis durian yang sering menjadi pilihan ramai seperti Musang King, D24 dan D101.

“Faktor isi durian tebal dan biji kecil menjadi pilihan penggemar buah ini. Dari segi rasa dan kemanisan durian, lokasi juga memainkan peranan penting.

“Durian yang berasal dari daerah Pahang sangat bernilai kerana faktor suhu di sana lebih tinggi berbanding tempat lain,” katanya.

Sementara itu, ada juga durian jenis XO yang sudah lama berada di pasaran, namun penawaran sangat terhad kepada pelanggan.

“Lagipun durian jenis ini di kacuk menerusi kaedah tunas berbanding jenis durian lain menggunakan biji durian,” katanya.

Man berkata, harga durian mungkin akan jatuh sekiranya musim buah ini tiba serentak di Pahang, Perak dan Johor.

Bergantung kepada musim

Bagi Nor Azmi Darwis yang sudah sembilan tahun berkecimpung dalam perniagaan itu berkata, musim durian kini tidak lagi mengikut musim seperti dahulu.

Menurutnya, bekalan yang diperoleh bukan sahaja satu daerah malah di semua negeri.

“Musim durian sekarang tidak menentu dan ia menjadi faktor harga durian berubah-ubah dari semasa ke semasa. Kebiasaannya musim durian bermula bulan Mei sehingga Ogos dan hasil lebih banyak ketika musim panas,” katanya.

Harga durian sekilo bermula RM15 sehingga RM32 mengikut jenis durian. Permintaan paling tinggi adalah Musang King kerana isinya tebal dan biji lebih kecil.

Manakala, durian biasa atau kampung isi lebih nipis dan mempunyai biji besar dari kebiasaan.

Terdapat jenis durian baharu seperti D101, D13, XO dan sebagainya, namun bekalan tidak menentu.

“Ada juga durian ‘cokiok’ yang jarang ada kerana rasanya pahit sedikit, namun harganya lebih mahal,” katanya.

Lagi mahal, lagi sedap

Bagi penggemar durian yang mahu dikenali sebagai Zul, dia tidak melihat pada harga durian itu tetapi sanggup membelinya untuk kepuasan diri.

“Setiap durian mempunyai perbezaan dan penggemar masing-masing. Saya menyukai durian jenis Musang King, D24 dan juga durian kampung,” katanya.

Dia berkata, lebih mahal harga durian, lebih sedap rasanya. Biarpun harga agak mahal, dia tetap tidak berkira untuk berbelanja. Lokasi pilihannya untuk membeli durian biasanya sekitar Shah Alam dan Klang.


SinarOnline

No comments