Terkini

Penyakit Mental Kedua Tertinggi Pada Tahun 2020

Kangar: Penyakit mental dijangka menjadi kedua tertinggi dihidapi rakyat Malaysia selepas penyakit jantung pada 2020, kata Ketua Jabatan Pakar Psikiatri Hospital Tuanku Fauziah di sini, Dr Ruzita Jamaluddin.

Penyakit Mental Kedua Tertinggi Pada Tahun 2020

Beliau berkata laporan statistik mengenai penyakit itu sangat membimbangkan kerana pada 2008, kira-kira 400,227 pesakit di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital kerajaan.

"Malah jumlah itu terus meningkat di mana sebanyak 2,000 kes baharu schizophrenia dilaporkan setiap tahun. Lebih membimbangkan jumlah ini berkemungkinan tidak menggambarkan bilangan sebenar.

"Masalah ini bertambah rumit apabila kurangnya pengetahuan berkaitan bahaya penyakit ini dalam kalangan masyarakat menyebabkan ramai memilih tidak mendapatkan rawatan atau hanya merawat secara tradisional," katanya.

Dr Ruzita berkata demikian ketika ceramah bertajuk ‘Menangani Stigma Penyakit Mental’ pada Seminar Kesedaran Minda Sihat Kepada Ketua-ketua Jabatan UniMAP di Kampus Induk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra, di sini hari ini.

Menurutnya, masalah kemurungan dipercayai menjadi punca utama kepada penyakit mental dan kebelakangan ini, media melaporkan banyak kes bunuh diri, mencederakan diri atau orang lain.

“Kemurungan kronik yang antaranya disebabkan tekanan hidup boleh menyebabkan pesakit mengalami halusinasi dan keinginan mencedera atau membunuh diri, sekiranya tidak dirawat segera," katanya.

“Jangan sisihkan kerana mereka ini sakit tetapi bantu mereka mencari diri dengan bantuan rawatan dan pengambilan ubat bersesuaian. Tindakan menyisih memburukkan lagi keadaan pesakit.

“Penyakit ini mengambil masa beberapa bulan sehingga tiga tahun untuk menunjukkan perubahan dari segi pemikiran, emosi dan tingkah laku pesakit,” katanya.- BERNAMA

No comments