Terkini

Hari Wilayah Persekutuan: Kuala Lumpur dari kaca mata anak setinggan

KUALA LUMPUR: Bila bercerita tentang rumah setinggan, pasti 1,001 persepsi timbul dalam kalangan masyarakat terhadap keadaan kawasan kediaman berkenaan. Jika memandang dari aspek negatif, ia dilihat lokasi hitam yang menjadi pusat kegiatan hitam masyarakat di kota.

Hari Wilayah Persekutuan: Kuala Lumpur  dari kaca mata anak setinggan
Hari Wilayah Persekutuan: Kuala Lumpur  dari kaca mata anak setinggan

Lokasinya yang terletak di satu sudut tersorok di beberapa kawasan bandar dengan bayangan rumah usang dan tidak tersusun menambah persepsi buruk yang sukar ditukar lagi. Tambahan beberapa filem aksi Melayu turut menambah perisa ketakutan masyarakat dengan memaparkan lokasi setinggan sebagai markas kongsi gelap atau penjenayah menjadikan trauma itu terlampau payah dibuang.

Kewujudan setinggan juga dikatakan mencemarkan persekitaran kawasan perbandaran kerana sering dikaitkan dengan kemiskinan, ketidakselesaan, kesesakan, kekotoran dan kekurangan kemudahan asas.

Bagaimanapun, definisi setinggan sebenarnya adalah satu kawasan penempatan yang dibina secara rawak dan tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan, swasta dan orang perseorangan.

Di dalam satu tesis graduan Universiti Sains Malaysia (USM), Roseli Mohd Zain, definisi yang diberi merangkumi dua takrifan iaitu am dan di sisi undang-undang.

Menurutnya, takrifan am ketika merujuk Azizah (1982) dalam Abdul Aziz (2007), perkataan 'setinggan' mula disebut dalam akhbar Utusan Melayu pada 27 April 1968 dan kemudiannya dimasukkan ke dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1970.

Menurut kajian Azizah (1982), orang awam mengatakan perkataan itu dicampuradukkan dengan perkataan Inggeris sten-gun. Menurut mereka, kampung setinggan dahulunya dikenali sebagai kampung sten-gun kerana penduduk kampung itu terpaksa menentang pihak berkuasa yang datang untuk memusnahkan kampung mereka sehingga memaksa mereka menggunakan gun (senapang) untuk melindunginya.

Sementara menurut kamus Oxford Advanced Learner's Dictionary (Edisi Keenam, 2000), setinggan adalah seseorang yang tinggal di dalam bangunan atau menduduki tanah terutama tanah awam tanpa kebenaran dan tanpa membayar sewa.

Apa sahaja takrifan setinggan, ia merupakan asas bagi warga kota asal yang menetap di Kuala Lumpur atau 'hotel' kepada mereka yang berhijrah di ibu kota pada awal tahun 70-an.

Situasi sekitar rumah setinggan di Kuala Lumpur - Sumber gambar Aizuddin Saad
Anak setinggan

Datuk Johari Abdul Ghani, salah seorang anak setinggan yang dilahirkan serta dibesarkan di Kampung Pandan yang tidak pernah malu mengakui dia mengharungi kehidupan muda di dunia setinggan.

Kesusahan dan keperitan itu katanya, banyak mengajar liku hidup serta cabaran agar menjadi seorang pemimpin yang berhati rakyat dan terus berjuang demi keselesaan penempatan golongan rendah di Kuala Lumpur.

Selepas menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari tahu, salah satu tanggungjawab utamanya adalah memastikan warga kota mendapat keselesaan serta penyediaan rumah yang mempunyai akses mudah ke tempat kerja.

"Dalam kepesatan pembangunan ini, kita juga kena pastikan pada masa akan datang pembangunan ini hendaklah kita imbangi dengan pembangunan yang lebih mementingkan masyarakat di mana penduduk generasi kedua dan ketiga memerlukan tempat tinggal dan perumahan.

"Maka sudah tentu kita tengok pembangunan di Kuala Lumpur banyak menawarkan perumahan bentuk mewah dan harga begitu tinggi sehingga menyebabkan, sebahagian penduduk bandar yang sederhana tidak mampu untuk tingal dalam bandar sedangkan mereka bekerja dalam bandar," katanya.

Jelasnya yang juga Timbalan Menteri Kewangan, pihak berkenaan perlu memastikan golongan penduduk bawahan dan pertengahan dapat menikmati arus pembangunan dengan tinggal bersama dalam arus kemajuan di tengah bandar.

Katanya lagi, ia sekali gus berkait dengan kecekapan kemudahan sistem pengangkutan awam agar penduduk dalam bandar dapat bergerak tanpa menggukan kenderaan sendiri lagi dalam masa terdekat.

"Pembangunan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur perlu diseimbangkan agar jurang taraf kehidupan masyarakat tidak terlalu jauh berbeza. Ia perlu merangkumi lokasi serta jenis perumahan yang perlu ada di dalam pusat bandar itu sendiri.

"Saya melihat perkembangan Wilayah Persekutuan begitu pesat. Semasa dibesarkan di Kuala Lumpur, kita dapat lihat banyak kawasan setinggan tetapi hari ini semuanya hampir mencapai setinggan sifar.

"Semua kawasan kini dibangunkan dengan pesat, kawasan setinggan telah dibangunkan dengan penempatan golongan rendah, sederhana dan tinggi," ujarnya.

Pembangunan sama rata

Johari tekad, mahu memastikan golongan penduduk bawahan dan pertengahan dapat menikmati arus pembangunan dengan tinggal bersama-sama dalam arus pembangunan di tengah bandar

"Dengan pelaburan pengangkutan awam seperti sistem Mass Rapid Transit (MRT), Projek Bus Rapid Transit (BRT) dan komuter, ia merupakan pelaburan jangka masa penjang yang sangat penting bagi satu pembangunan bandar.

"Ia akan membuatkan frasarana menjadi begitu cekap dan efisien supaya penduduk dalam bandar tidak lagi menggunakan kereta. Jadi apabila mereka hendak pergi ke tempat kerja boleh gunakan pengangkutan awam yang begitu cekap dan teratur.

"Saya harap dalam lima atau 10 tahun lagi, bila siap nanti ia akan memberikan satu kemudahan kelas dunia kepada Kuala Lumpur," jelasnya.
Harapannya, mahu melihat Kuala Lumpur menjadi sebuah bandar raya terkemuka dan terkenal di seluruh dunia.

"Kita ada pelancong hampir 30 juta orang setahun dan mereka tidak ketinggalan untuk melawat Kuala Lumpur.

"Inilah peranan kita untuk memastikan taraf Kuala Lumpur setaraf dengan negara maju lain selain penduduk dapat sama-sama menikmati pembangunan ini dengan telus, cekap dan begitu berdaya saing.

"Ia juga seharusnya dinikmati semua masyarakat tidak kira latar belakang agama, bangsa atau apa sahaja konsep perniagaan yang dilakukan dalam bandar," jelasnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan tidak mahu masyarakat Melayu terutamanya di Kampung Baru dikatakan sinonim dengan setinggan atau marhaen , sebaliknya, kerajaan mahu menjadikan masyarakat Melayu di kawasan itu mempunyai kedudukan ekonomi dan sosial yang dibanggakan.

Kerana itu kerajaan komited menjadikan Pusat Bandar Kampung Baru (KBCC) sebagai lambang kemajuan masyarakat Melayu di bandar raya.

Menurutnya, menerusi pelan pembangunan KBCC juga, pelbagai projek telah disusun dari segi infrastruktur moden untuk komersial, kediaman dan kawasan rekreasi sebagai pengganti kawasan setinggan yang selama ini dilabel penempatan tradisi Melayu.



petikan asal-astroawani

No comments