Terkini

Dr Mahathir tak yakin hasrat Zeti akan tercapai

Tun Dr Mahathir Mohamad tidak yakin siasatan Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas 1MDB mampu diselesaikan sebelum gabennornya, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dijadualkan bersara pada 30 April ini.

Dr Mahathir tak yakin hasrat Zeti akan tercapai

Bercakap kepada wartawan di Putrajaya selepas disoal siasat oleh polis berhubung tulisannya di blog yang mempertikaikan kredibiliti Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali kerana membersihkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada isu 1MDB dan ‘derma’ RM2.6 bilion, Mahathir berkata adalah sukar untuk menyelesaikan semuanya dalam tempoh waktu yang singkat.

“Saya rasa ia (isu 1MDB) akan menjadi sangat sukar diselesaikan" katanya ketika diminta mengulas hasrat Zeti untuk menyelesaikan siasatan 1MDB supaya penggantinya mempunyai rekod yang bersih.

"Sudah tentu ini hasrat baik di pihak orang yang akan bersara.

"Saya tinggakan calon yang bersih juga apabila saya buat keputusan untuk meletakkan jawatan (pada tahun 2003)," katanya.

Zeti sebelum ini berkata, beliau berharap dapat melihat siasatan ke atas 1MDB selesai sebelum tempoh lima tahun perkhidmatannya berakhir.

"Itu apa yang saya nyatakan dan ke arah itulah hala tuju usaha saya, (iaitu), menyelesaikannya (siasatan 1MDB) semasa masih di dalam tempoh perkhidmatan saya, supaya gabenor selepas ini boleh memulakan tugasnya dengan rekod yang bersih," katanya.

Siasatan Bank Negara berhubung 1MDB ditolak sebanyak dua kali oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Sementara itu, Mahathir menolak dakwaan bahawa dirinya sebagai pengkritik Najib yang paling lantang menjejaskan ekonomi negara dengan kenyataannya.

"Ini berlaku kerana tingkah laku kerajaan, dasar dan skandal.

"Media asing laporkannya di halaman penuh, menceritakan apa yang Najib lakukan. Sudah tentu ini yang menjejaskan ekonomi. Bukan apa yang saya katakan," katanya.


Sumber - MalaysiaKini

No comments