Terkini

Saya terus menegur walau kuasa penyingkiran bukan ditangan saya, tegas Datuk Vida

KUALA LUMPUR - “Kuasa untuk singkir pemain atau jurulatih bukan di tangan saya.”

Saya terus menegur walau kuasa penyingkiran bukan ditangan saya, tegas Datuk Vida
Dr. Vida menegaskan saya akan terus menerus menegur 


Itu penegasan Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman terhadap reaksi penyokong Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) di laman sosial yang menyifatkan beliau sudah melangkaui batas apabila mula menegur aspek teknikal pasukan.

Hasmiza yang lebih dikenali sebagai Dr. Vida menegaskan, beliau berhak menegur pasukan demi memastikan prestasi mereka terus berada di tahap terbaik.

Tegasnya lagi, penajaannya hadir dalam satu pakej. Selain menerima wang tajaan, Kelantan juga perlu memberi pulangan dengan mempamer aksi cemerlang.

“Saya akan terus menegur dan diharap mereka (pegawai Kafa dan penyokong) boleh terima dengan baik demi Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.

“Apa jua komen penyokong saya terima dengan positif dan yang baik kita boleh ambil kira.

“Mereka mungkin salah faham tentang teguran saya, teguran saya tidak bermakna saya mempunyai kuasa untuk buat keputusan ke atas pemain dan jurulatih,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Ahad lalu, Dr. Vida menegur aksi penyerang import, Dramane Traore yang disifatkan tidak cukup berbisa ketika PQPTRW nyaris dimalukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC, sebelum menang 1-0 dalam saingan Piala FA.

Beliau turut menasihatkan penyerang berusia 33 tahun itu memperbaiki permainannya andai mahu kekal lama bersama pasukan.

Traore yang pernah diangkat sebagai penjaring terbanyak musim lalu mempamer aksi yang kurang meyakinkan pada awal saingan 2016 selain masih belum menemui rentak bersama PQPTRW.

Kelmarin, Dr. Vida menegur taktikal jurulatih, K. Devan yang dianggap tidak cukup agresif dalam pertemuan dengan UKM.

“Penyudah 1-0? Devan? UKM yang terlalu agresif? Jangan libatkan Bojan (Hodak) dulu, kita bincang senario terkini dan ambil iktibar,” katanya dalam Facebook.

Selepas mengharungi tiga perlawanan musim ini, Kelantan gagal menunjukkan prestasi meyakinkan.

Mereka seri 0- 0 dengan Perak dalam aksi pembukaan Liga Super, sebelum menewaskan PDRM 1-0 pada perlawanan kedua. Diikuti kemenangan tipis ke atas UKM.


Sumber - UtusanOnline

No comments