Terkini

Pesawat Tara Air yang hilang disahkan terhempas dengan mayat dijumpai bergelimpangan

Bangkai pesawat Twin Otter yang membawa 23 orang penumpang telah ditemui, menurut Menteri Penerbangan Nepal, Aananda Prasad.

Pesawat Tara Air yang hilang disahkan terhempas dengan mayat dijumpai bergelimpangan

Kapal terbang itu terbakar sepenuhnya ketika ia ditemui di Solighopte di daerah Myagdi. Mayat-mayat penumpang dikatakan bertaburan di sekitar bangkai pesawat.

Pesawat milik Tara Air itu dalam penerbangan dari Pokhara di barat Kathmandu ke Jomson ketika ia gagal dihubungi oleh menara kawalan.

Jomson adalah destinasi pendakian popular di Himalaya yang terletak kira-kira 20 minit dari Pokhara.

Dua helikopter telah digerakkan untuk mencari pesawat berkenaan tetapi kabus menjejaskan pencarian itu.

Dua tahun lalu, sebuah pesawat Twin Otter milik Nepal Airlines terhempas di kawasan bukit sejurus berlepas dari Pokhara, mengorbankan 18 orang penumpang,

Tara Air adalah anak syarikat Yeti Airlines, milik persendirian yang ditubuhkan pada tahun 1998 yang menawarkan perkhidmatan di kebanyakan destinasi terpencil di Nepal.

Kali terakhir kemalangan melibatkan Tara Air pada tahun 2010 semasa sebuah pesawat yang disewa oleh pelancong Bhutan terhempas di kawasan pergunungan di timur Nepal.

Sektor penerbangan Nepal dikecam daripada pihak-pihak berkuasa antarabangsa dan pada tahun 2013 Kesatuan Eropah menyenarai hitam syarikat-syarikat penerbangan Nepal. - Agensi

No comments