Terkini

Air India gagal sediakan kerusi roda, penumpang OKU terpaksa merangkak

Seorang penumpang kelainan upaya mendakwa beliau terpaksa merangkak di landasan Lapangan Terbang New Delhi selepas Air India gagal menyediakan kerusi roda.

Air India gagal sediakan kerusi roda, penumpang OKU terpaksa merangkak
Anita Ghai mendakwa tiada kerusi roda disediakan kepadanya

Bagaimanapun, Air India menafikan tuduhan itu.

Anita Ghai, 53, seorang aktivis kelainan upaya mendakwa beliau terkandas selepas tiba di Delhi dari Dehradun pada Sabtu lalu.

Ghai berkata, dia dibantu turun daripada pesawat oleh kakitangan Air India dan kawan-kawan.

Namun, tidak ada kerusi roda ditawarkan kepadanya untuk sampai ke terminal bas yang terletak beberapa meter.

"Kami menunggu di landasan setengah jam sebelum pemandu bas datang mengambil saya. Saya terpaksa merangkak untuk naik ke atas bas.

"Saya telah berulang kali mengingatkan kakitangan pesawat untuk menyediakan kerusi roda sepanjang penerbangan. Saya terperanjat apabila pesawat mendarat, mereka tidak menyediakan kerusi itu dan mereka mendakwa kegagalan menyediakan kerusi itu atas sebab-sebab keselamatan," tambahnya.

Ghai terpaksa yang bergantung kepada kerusi roda kerana mengalami polio sejak kanak-kanak menyifatkan insiden itu memeranjat dan memalukan.

Air India yang menafikan insiden itu berkata, kemudahan itu lewat disediakan kerana pesawat berkenaan diletakkan di tempat letak pesawat agak jauh.

"Kami sekeras-kerasnya menafikan dakwaan itu. Air India sentiasa menjaga keselamatan dan keselesaan penumpang," kata syarikat penerbangan itu. - MalaysiaGazette

No comments