Terkini

Penduduk ditumbuk dan dibelasah habis-habisan hanya untuk tuah

Bayangkan anda tiba-tiba sahaja terperangkap dalam pergaduhan jalanan besar-besaran di mana ribuan penduduk kampung mahu menumpahkan sebanyak mungkin darah hanya untuk tuah.

Penduduk ditumbuk dan dibelasah habis-habisan hanya untuk tuah
Pertempuran itu hanya sekejap dan ganas dengan semua tumbukan ditujukan ke arah kepala.

Begitulah dialami wartawan Britain yang dibelasah ketika menonton ritual pelik Machu Tinku dengan lelaki dan wanita memakai pakaian berwarna-warni menumbuk sesama sendiri bagi menggembirakan dewa Pachamama supaya memperoleh hasil tanaman lebih baik.

Pergaduhan berlaku di Macha, pergunungan Andes, Bolivia dan dianggap amalan suci oleh kaum asli Quechua.

Acara berabad-abad lamanya itu menyaksikan ribuan orang asli Quecha berketurunan Inca berkumpul dari seluruh rantau Altiplano di Bolivia.

Ketika acara itu, satu kampung akan mengelilingi penduduk kampung lain sebelum meletusnya pergaduhan.

Penduduk ditumbuk dan dibelasah habis-habisan hanya untuk tuah

Martin Pashley, 44, yang melawat acara keagamaan itu bagi penerbitan majalah Union, menggambarkan perkelahian antara penduduk kampung itu ‘singkat tetapi ganas’.

Tiada barangan kemas atau besi penumbuk buku lima dibenarkan ketika pergaduhan malah menendang tidak dibenarkan sama sekali.

Wartawan dari Nottingham itu berkata: “Macha Tinku antara acara paling suci dalam kepercayaan kaum asli Quechua.

Penduduk ditumbuk dan dibelasah habis-habisan hanya untuk tuah

“Ia acara tahunan untuk ribuan orang berkumpul dan bertempur bagi menumpahkan darah sebanyak mungkin supaya dewi Pachamama membenarkan tanaman pada tahun depan tumbuh dengan baik.”

Cubaan untuk mengharamkan Tinku oleh pegawai berkuasa tempatan dan pihak gereja menemui jalan buntu memandangkan ribuan penduduk kampung tetap meneruskan tradisi itu saban tahun.

Hanya 30 pegawai polis yang bersenjatakan belantan dan gas pemedih mata bertugas untuk mengawal keadaan sepanjang acara berlangsung.

Ketika menyaksikan pertempuran itu, Pashley yang bersama penunjuk arah, ditumbuk dan dipukul dengan gagang tali cemeti.

“Seruling dibunyikan bagi memulakan acara dan serangan meletus di sekeliling kami. Lima minit pertama, keadaan sangat kelam kabut dengan bunyi seruling, orang Inca berlari ke sana sini, wanita menjerit, polis menyebat orang ramai malah daun koko jatuh dari udara.

Penduduk ditumbuk dan dibelasah habis-habisan hanya untuk tuah

“Tidak ada aturan atau alasan untuk bertempur tetapi lama-kelamaan saya dapat lihat bagaimana acara ini berfungsi. Apa yang sekilas pandang kelihatan tidak tersusun sebenarnya ritual tarian yang sangat menarik. Satu perkampungan mengelilingi penduduk kampung lain sebelum ia menjadi semakin pantas, memprovokasi sesama sendiri dan kemudian pada saat yang tepat, jaguh tidak kira lelaki atau wanita muncul.

“Ia sangat indah. Tiada barangan kemas atau besi buku lima dibenarkan walaupun dulu, pertarungan lebih hebat apabila kuku besi digunakan untuk merobekkan perut pesaing. Menendang sama sekali tidak dibenarkan.

“Pertempuran itu hanya sekejap dan ganas dengan semua tumbukan ditujukan ke arah kepala. Objektifnya bukan untuk menumbangkan pesaing anda tetapi membuatkan dia berdarah.

“Lebih banyak darah, tuah untuk kampung dan tanaman anda lebih baik pada tahun depan. Sekiranya tiada darah, Pachamama tidak gembira,” katanya.

sumber - Mymetro

No comments