Terkini

Sayu bila dikenang, isteri terkilan suami tak sempat jamah nasi beriani kambing

SHAH ALAM - “Menghadapi rasa kehilangan orang yang rapat dengan kita bukanlah sesuatu yang mudah,” demikian luah balu wartawan pemotoran Sinar Harian, Anis Naziha Abdul Rauf yang maut dalam kemalangan pada 9 Julai tahun lalu.

Dalam kenangan.. isteri terkilan suami tak sempat jamah nasi beriani kambing

Nik Norul Hidayat Nik Mustafa meninggal dunia jam 6.41 pagi di Hospital Putrajaya, setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer 19.6 Lebuhraya Elite.

Diselangi air mata, Anis Naziha berkata, meskipun perjalanan hidupnya tidak lagi seperti dahulu, dia harus terus kuat mengharungi hari mendatang lebih-lebih lagi dia kini sarat mengandungkan anak pertama mereka yang dinantikan sejak tujuh tahun lalu.

Nik Norul Hidayat dan Anis telah mendirikan rumah tangga selama tujuh tahun lalu masih belum dikurniakan anak.

Menurut Anis, dia mengakui sedar terdapat beberapa perubahan yang berlaku pada dirinya dan Nik Norul Hidayat yang lebih mesra dikenal sebagai Nik.

Akan tetapi, meskipun perubahan tersebut agak ketara, Anis tidak pernah menyangka bahawa ia merupakan petanda bahawa Nik akan pergi meninggalkannya buat selamanya.

“Pada kebiasaannya, sebelum arwah ke tempat kerja, saya akan selalu berpesan kepadanya supaya dia berhati-hati. Saya tidak pernah terlupa berpesan tentang hal yang sama.

"Dan ditakdirkan ALLAH, pada hari itu (hari kemalangan) saya tidak ingat untuk menyampaikan pesan seperti selalu kepadanya,” luah Anis yang tidak dapat menyembunyikan dukanya.

Anis Naziha berkata demikian ketika berkongsi kisahnya selepas menerima sumbangan Kumpulan Media Karangkraf kepada keluarganya, hari ini.

Menurut wanita berusia 32 tahun ini juga, dia juga pernah bermimpi tentang kemalangan menimpa Nik sebelum tragedi itu berlaku.

“Lima hari sebelum kejadian, saya ada bermimpi arwah Nik meninggal akibat kemalangan dan terlampau ramai orang yang datang untuk melakukan solat jenazah ke atasnya.

"Pada masa itu saya anggap mimpi itu hanya mimpi biasa,” katanya.

Anis Naziha turut terkilan kerana suaminya tidak sempat menjamah nasi beriani kambing yang dibelinya untuk berbuka puasa bersama pada Ramadan lalu.

“Dia minta saya belikan nasi beriani kambing untuk berbuka puasa sekali tapi… dia tidak sempat makan,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Meskipun perit untuk menghadapi takdir, Anis Naziha berkata, dia kini perlu kuat dan terus tabah untuk mengharungi hidupnya bersama anaknya yang dijangka lahir pada bulan hadapan.

“Nik pergi dalam keadaan tidak tahu saya mengandung, saya sendiri pun tidak sedar yang saya mengandung sehinggalah rakan menasihati saya untuk lakukan pemeriksaan (selepas pemergian suami),” katanya - SINAR ONLINE

No comments